News & Articles Hotel pertama di Gamuda Cove bakal dibuka 2026

Hotel pertama di Gamuda Cove bakal dibuka 2026


7 Dec 2023
Hotel pertama di Gamuda Cove bakal dibuka 2026
KUALA LANGAT: Gamuda Land menambah portfolio baharu dalam perniagaannya menerusi pembangunan hotel pertamanya di perbandaran Gamuda Cove.

Rancangan itu dicapai menerusi pemeteraian perjanjian pengurusan hotel dengan Dusit Hotels and Resorts bagi membuka Hotel ASAI Gamuda Cove yang juga adalah hotel pertama syarikat dari Thailand itu di Malaysia.

Hotel berkenaan dijangka mula dibuka pada suku pertama 2026 dan menawarkan penginapan sebanyak 280 bilik.

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune, berkata pembinaan hotel berkenaan membabitkan pelaburan di antara RM140 juta hingga RM150 juta.

"Hotel ini dijangka berstatus gaya hidup skala pertengahan dan akan dibina bersebelahan dengan Paya Indah Discovery Wetlands yang menawarkan pemandangan menakjubkan buat penghuni hotel ini.

"Kami memilih Dusit sebagai pengendali hotel ini kerana mereka adalah dari Thailand, dan seperti mana kita tahu, negara itu menawarkan pengalaman terbaik untuk pelanggan dari segi layanan, perkhidmatan dan sentuhan insan.

"Selain itu kedudukan kita yang agak dekat dengan Thailand, jadi bagi kami ini adalah agak relevan buat kami untuk memilih Dusit sebagai rakan pengendali hotel di perbandaran ini," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian pengurusan hotel di antara Gamuda Land dengan Dusit Hotels and Resorts di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Pembangunan Global Dusit International, Siradej Donavanik; Ketua Pegawai Operasi Dusit International, Gilles Cretallaz dan Ketua Pegawai Komersil Gamuda Land, Eusoffe Chua.

Mengulas lanjut, Wai Lune berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meneroka potensi bagi membangunkan hotel di perbandaran lain pada masa akan datang.

"Saya tidak mengatakan yang kami mahu berkembang dalam sektor perhotelan ini, tetapi ia adalah perkhidmatan yang seharusnya disediakan bagi melengkapi keseluruhan ekosistem di perbandaran ini.

"Kami komited untuk meneroka lebih banyak peluang dengan rakan kongsi, Dusit International pada masa akan datang.

"Peluang ini tidak hanya terhad pada hotel, tetapi dapat melanjutkan perkhidmatan mereka kepada perbandaran kami, unit perumahan, banglo, rumah berkembar dan rumah kelab. Jadi, lebih banyak kerjasama akan terjalin nanti," katanya.

Hotel ASAI Gamuda Cove akan menjadi hotel pertama di bawah jenama Dusit untuk model 'ASAI Tropical', disesuaikan khusus untuk hartanah yang terletak di kawasan keindahan semula jadi yang luar biasa.

Seperti ASAI Hotels dalam bandar Dusit yang beroperasi di Bangkok, Thailand dan Kyoto, Jepun, hotel ASAI Tropical akan menampilkan bilik-bilik yang kompak yang memberikan gabungan keperluan penting yang tersendiri, seperti katil mewah dan pancuran mandian yang menyegarkan, dilengkapi dengan ruang komunal yang menarik dan pengalaman makan yang diilhamkan secara tempatan.

Perbezaan model ini ialah penyediaan pelbagai kemudahan yang lebih luas antaranya kolam infiniti, lebih banyak tempat makan, ruang acara yang diperluaskan dan pelbagai kategori bilik yang lebih luas, termasuk kepelbagaian pilihan serta mesra keluarga.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline