News & Articles S P Setia bina kediaman bernilai RM1.4 bilion di Bangsar

S P Setia bina kediaman bernilai RM1.4 bilion di Bangsar


20 Dec 2023
S P Setia bina kediaman bernilai RM1.4 bilion di Bangsar
KUALA LUMPUR: S P Setia Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd (Mitsui Fudosan) bagi projek pembangunan hartanah di Bukit Persekutuan Setia, Bangsar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai, berkata projek hartanah itu akan dilaksanakan di atas tanah berkeluasan 1.08 hektar sekali gus memberikan nadi baharu kepada pembangunan di Bangsar.

Beliau berkata, langkah strategik itu juga menandakan peluang yang besar bagi S P Setia untuk meluaskan lagi kehadirannya dan mewujudkan hartanah yang kukuh.

Projek itu, katanya akan terdiri daripada dua menara kediaman membabitkan 1,300 unit rumah dengan menara pertama dijangka akan dilancarkan pada tahun depan.

"Usaha sama antara SP Setia dan Mitsui Fudosan ini penting untuk kedua syarikat, kerana ia menggabungkan pemaju hartanah terkemuka negara dan syarikat pelaburan hartanah utama.

"Ia bukan sahaja akan meningkatkan portfolio projek tetapi juga memberikan peluang yang luar biasa untuk S P Setia dalam memasarkan kepada pelanggan antarabangsa.

"Dengan gabungan kepakaran dan rekod prestasi, usaha sama ini bersedia untuk membuka potensi penuh pembangunan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kai Wai berkata, Bukit Persekutuan Setia seluas 20.9 hektar merupakan pembangunan berprestij yang terletak di kawasan utama Bangsar, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, ia juga terletak strategik berhadapan KL Sentral, hab pengangkutan bersepadu terbesar di Malaysia yang menawarkan sambungan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan juga ke seluruh Lembah Klang.

Bukit Persekutuan Setia, katanya akan menawarkan kemudahan dan kebolehcapaian yang tiada tandingan.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Mitsui Fudosan dalam projek ini. Kami yakin bahawa usaha sama ini akan membuka jalan kepada pembangunan yang luar biasa.

"Kerjasama dengan Mitsui Fudosan adalah bukti komitmen kami untuk kecemerlangan dalam setiap usaha," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline