News & Articles LBS sasar jualan hartanah RM1.8 bilion tahun ini

LBS sasar jualan hartanah RM1.8 bilion tahun ini


5 Jan 2024
LBS sasar jualan hartanah RM1.8 bilion tahun ini
PETALING JAYA: Pemaju hartanah, LBS Bina Group Bhd (LBS) meletakkan sasaran untuk mencapai jualan hartanah sebanyak RM1.8 bilion pada tahun ini.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San, berkata pihaknya yakin mampu mencapai sasaran berkenaan bersandarkan projek hartanah sedia ada dan akan dilancarkan bernilai RM3.15 bilion tersedia untuk dijual pada tahun ini.

Katanya, pada tahun 2023, kumpulan itu merekodkan jualan sebanyak RM1.701 bilion, berbanding sasaran RM2 bilion yang ditetapkan.

"Kumpulan tidak berjaya mencapai sasaran RM2 bilion pada tahun lalu disebabkan oleh terdapat penangguhan pelancaran tiga projek hartanah antaranya di Cameron Highland dan Goh Tong Jaya di Pahang yang mana akan dilancarkan pada tahun ini.

"Kami juga merancang untuk melancarkan dua projek taman perindustrian antaranya di Ijok, Selangor pada tahun ini, namun tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa," katanya pada taklimat media di ibu pejabat LBS di sini, hari ini.

Hock San berkata, kumpulan juga mengumumkan rancangan untuk melancarkan 10 buah projek baharu di seluruh Lembah Klang, Johor dan Pahang pada tahun ini dengan sasaran pelancaran merangkumi 4,858 unit dan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2.33 bilion.

Katanya, bagi kawasan Lembah Klang, LBS akan menumpukan kepada pelancaran 2,960 unit hartanah dengan GDV berjumlah RM1.14 bilion.

"Lembah Klang secara konsisten telah memberikan hasil jualan tertinggi kepada LBS sepanjang tahun dengan purata lebih daripada 80 peratus. Daripada 2,960 unit ini, LBS turut merancang untuk melancarkan sejumlah 1,048 unit dengan GDV sebanyak RM303 juta di Idaman Perdana, yang terletak di perbandaran LBS Alam Perdana.

"Selain itu, LBS akan bekerjasama dengan syarikat pembinaannya, MGB Bhd, untuk melancarkan blok pangsapuri Rumah Idaman MBI (Idaman Cahaya 3), (413 unit dengan jumlah GDV RM117 juta), rumah teres dua tingkat di Astella (79 unit dengan jumlah GDV RM75.6 juta), dan pangsapuri servis SkyRia di D'Island Residence (999 unit dengan jumlah GDV RM441 juta).

"Seterusnya, LBS turut merancang untuk melancarkan sejumlah 421 unit, terdiri daripada pangsapuri dan rumah bandar di Bandar Saujana Putra, dengan GDV sebanyak RM205 juta," katanya.

Tambah beliau, pelancaran projek baharu di Pahang termasuk pangsapuri perkhidmatan Bayu Hills di Genting Highlands, (642 unit dengan GDV RM452 juta), diikuti 66 buah unit banglo di Rimbawan Acacia Garden, Genting Highland, dengan GDV sebanyak RM103 juta.

"LBS juga merancang untuk melancarkan pembangunan bercampur terbesar di rantau ini, yang bakal menampilkan unit-unit pangsapuri perkhidmatan dan penawaran unit komersial (kedai dan restoran) yang terbesar di Centrum Iris, Cameron Centrum, Cameron Highlands.

"LBS juga mengumumkan pelancaran di Johor, yang bakal terdiri daripada 63 buah rumah berkembar dua tingkat di Imperial Garden, Bandar Putera Indah, Batu Pahat, Johor, dengan jumlah GDV sebanyak RM43 juta.

"Pelancaran ini turut membabitkab projek Pangsapuri Saujana Indah di Taman Molek, yang terdiri daripada 393 unit dengan GDV RM177 juta," katanya.

Sebagai perbandingan, LBS telah melancarkan 4,358 unit bernilai RM1.67 bilion pada 2023.

LBS kini mempunyai 19 projek pembangunan yang sedang berjalan, secara kolektif dengan anggaran GDV sebanyak RM 5 bilion.

Sehingga 31 Disember 2023, simpanan bank tanah LBS meliputi kawasan seluas 1119.76 hektar, yang dijangka akan meletakkan LBS kekal bersaing bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Di samping itu, kumpulan itu mempunyai jualan belum dibil kira-kira RM1.99 bilion, memastikan jumlah jangkaan pendapatan yang jelas dan kukuh untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline