News & Articles Pemaju agresif tinjau peluang beli tanah di Johor, Lembah Klang

Pemaju agresif tinjau peluang beli tanah di Johor, Lembah Klang


9 Jan 2024
Pemaju agresif tinjau peluang beli tanah di Johor, Lembah Klang
KUALA LUMPUR: Semakin banyak pemaju hartanah dilihat sedang meninjau dengan agresif untuk menambah simpanan tanah pada tahun ini.

Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), AME Elite Consortium Bhd, Mah Sing Group Bhd dan Avaland Bhd adalah antara pemaju yang sedang mencari bidang tanah seperti di kawasan yang berkepentingan terutamanya Iskandar Malaysia dan Lembah Klang.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Loong Kok Wen, berkata pada September 2023, EcoWorld memperoleh 404 ekar tanah di Kulai daripada IOI Properties Group Bhd.

Katanya, lebih banyak aktiviti perindustrian akan dijalankan dalam jangka pendek, di antara Malaysia dan Singapura dengan kerajaan dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura pada Khamis ini.

"Hal ini kerana, SEZ akan menjadi perancangan yang lebih baik dan lebih mudah dalam pengaturan bagi penduduk yang perlu bekerja di kedua-dua belah tambak.

"Potensi dalam pengaturan cukai khas mungkin dicadangkan untuk memastikan pengaliran barangan yang lebih lancar antara kedua-dua pihak di bawah SEZ," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kok Wen berkata, baru-baru ini dilaporkan bahawa SEZ menyasarkan untuk menarik sembilan sektor iaitu logistik, tenaga, pembuatan, pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan dan ekonomi digital.

Katanya, perjanjian muktamad antara SEZ ini, termasuklah lokasi fizikalnya yang dijangka ditandatangani pada suku keempat 2024.

"Pasukan petugas khas sedang berusaha memperincikan insentif pelaburan seperti pelepasan cukai, prosedur perdagangan yang lebih baik dan proses perniagaan di SEZ.

"Kami merasakan kawasan berhampiran sempadan, terutamanya lebih dekat dengan tambak dan pautan Tuas, akan mempunyai peluang yang baik untuk dizonkan di bawah SEZ.

"UEM Sunrise dan Sunway juga mempunyai simpanan tanah yang besar di kawasan ini dan berdasarkan perbualan kami dengan beberapa pemain industri, syarikat multinasional (MNC) serantau sedang merancang untuk melakukan penempatan semula atau memusatkan operasi terutamanya selepas wabak, sebagai sebahagian daripada pengurusan risiko untuk memastikan rantaian pengeluaran tidak terganggu," katanya.

Beliau menambah, beberapa syarikat Amerika Syarikat (AS) memilih Malaysia sebagai pangkalan pembuatan di Asia Tenggara, memandangkan perdagangan AS-China kini berada dalam ketegangan.

Katanya, Johor telah menjadi salah satu destinasi pelaburan popular bagi banyak MNC, terutama dalam kalangan syarikat yang mempunyai pejabat serantau di Singapura.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline