News & Articles Angkasa sasar siapkan 3,000 rumah mampu milik

Angkasa sasar siapkan 3,000 rumah mampu milik


15 Jan 2024
Angkasa sasar siapkan 3,000 rumah mampu milik
BACHOK: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) menyasarkan 3,000 rumah mampu milik bakal disiapkan tahun ini membabitkan kos keseluruhan RM450 juta.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, berkata kediaman yang dibina menerusi anak syarikat, MyAngkasa Villa itu membabitkan rumah berkeluasan 92.9 dan 69.6 meter persegi dengan masing-masing berharga RM249,000 dan RM199,000.

"Inisiatif ini dilakukan bagi memberi kemudahan kepada anggota koperasi yang tidak memiliki slip gaji tetapi mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan tanah membina kediaman mereka.

"Langkah ini juga sejajar dengan matlamat Angkasa untuk memastikan satu ahli satu rumah dapat dicapai, dengan tawaran rumah mampu beli bukan rumah mampu lihat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pecah Tanah Projek MyAngkasa Villa di Kampung Lubok Nibong, Mahligai di sini, membabitkan pembinaan tujuh unit rumah.

Abdul Fattah berkata, projek pembinaan rumah MyAngkasa Villa mendapat sambutan menggalakkan daripada anggota koperasi dengan permohonan tertinggi membabitkan kawasan Felda di Johor dan Pahang.

Dalam pada itu, katanya setakat ini terdapat 7.3 juta anggota koperasi di seluruh negara yang sebahagian besarnya adalah golongan B40.

"Berdasarkan harga rumah yang kita tawarkan ini, kita jangkakan anggota yang berpendapatan dalam lingkungan RM3,000 sebulan mampu untuk memohon.

"Kita akan cuba menjadi pemudah cara kepada anggota yang memohon dengan mengadakan rundingan bersama pihak bank tertentu bagi memastikan impian mereka memiliki kediaman sendiri tercapai," katanya.

Menurutnya lagi, anggota koperasi yang memenuhi kelayakan ditetapkan boleh membuat permohonan menerusi koperasi negeri masing-masing yang dibuka sepanjang tahun.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline