Agong, Permaisuri cemar duli ke majlis Tahun Baru Cina LBS
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah baru-baru ini berangkat ke Majlis Menjunjung Kasih dan Minum Petang Tahun Baru Cina 2024 anjuran pemaju hartanah pilihan rakyat, LBS Bina Group Bhd.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti Agong dan Permaisuri, serta memuji komitmen, kebijaksanaan serta bertimbang rasa di sepanjang tempoh pemerintahan Baginda berdua.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam, Tun Mohd Khalil Yaakob; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng.
Hock San turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh keluarga LBS, termasuk kakitangan, pemegang saham, rakan kongsi perniagaan dan rakan media, mengiktiraf komitmen berterusan dan peranan penting mereka dalam kejayaan organisasi.
Beliau berkata, sebagai pemaju hartanah pilihan rakyat, LBS kekal teguh dalam komitmennya dalam memberi sokongan dalam memupuk perpaduan dan menyediakan penyelesaian perumahan berkualiti tinggi dan boleh dicapai.
Katanya, komitmen ini sejajar dengan tanggungjawab sosial korporat LBS, termasuk cita-cita syarikat untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
"Kepada pemimpin, rakan-rakan dan ahli keluarga yang hadir, saya menyampaikan hasrat ikhlas agar anda semua dilimpahi dengan kemewahan dan kejayaan sempena Tahun Naga ini.
"Dedikasi Tuanku kepada rakyat, di dalam mengukuhkan perpaduan dan pembangunan progresif di negara kita telah meninggalkan kesan yang luar biasa dan akan diingati oleh negara untuk tahun-tahun yang mendatang," katanya.
Source: Bharian.com.my