News & Articles Country Garden giat tambah baik kemudahan di Forest City

Country Garden giat tambah baik kemudahan di Forest City


31 Jan 2024
Country Garden giat tambah baik kemudahan di Forest City
JOHOR BAHRU: Country Garden, pemaju hartanah antarabangsa sedang giat meningkatkan pelbagai penambahbaikan kemudahan di kawasan Forest City sebagai persediaan bagi pelaksanaan inisiatif Zon Kewangan Khas (SFZ).

Pengurus Besar Jenama, Jualan dan Pemasaran Country Garden Malaysia-Singapura, Fang Fang, berkata langkah itu penting dalam memastikan Forest City, projek hartanah yang dibangunkan pihaknya dapat menarik kemasukan pelabur baharu menerusi inisiatif SFZ.

"Antara penambahbaikan itu termasuk pemindahan pusat pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedia ada ke lokasi baharu.

"Pembinaan pusat pemeriksaan baharu itu akan dapat meningkatkan kelancaran pemeriksaan agensi berkaitan selain turut meningkatkan aspek penguatkuasaan di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain itu, beberapa projek infrastruktur berkaitan pengangkutan juga sedang rancak dibangunkan di kawasan sekitar, bertujuan menambah baik akses keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

Fang berkata, antara projek pengangkutan berskala besar yang diberi perhatian adalah projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Singapura dan sistem pengangkutan transit aliran ringan (LRT) yang diharap turut melibatkan pembinaan stesen di Forest City.

Katanya, perkhidmatan bas rentas sempadan juga telah dilancarkan secara rasmi pada hujung tahun lalu bagi membolehkan pelbagai jenis pengangkutan awam berpusat di SFZ Forest City.

"Selain itu, bagi menyokong penggunaan teknologi digital terkini di Forest City, kita juga sedang meningkatkan mutu jaringan capaian Internet serta melaksanakan penggunaan teknologi terkini dengan matlamat menjadikan kawasan ini sebagai zon kewangan terbaik di rantau Asia Tenggara," katanya.

Tambah Fang, pihaknya turut menyokong pelaksanaan sistem kod QR tanpa menggunakan pasport di sempadan antarabangsa negara ini bagi membolehkan pemeriksaan dibuat lebih lancar.

"Penggunaan sistem yang membabitkan kedua-dua pihak berkuasa Malaysia dan Singapura itu dilihat sebagai langkah yang boleh melancarkan pergerakan rentas sempadan sekali gus memberi manfaat kepada orang ramai dan juga barangan dagangan," katanya.

Pada 25 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembentukan SFZ di Forest City serta beberapa insentif untuk merancakkan aktiviti ekonomi di Johor dan kawasan sekitarnya.

Projek Forest City yang terletak di Iskandar Puteri membabitkan pelaburan bernilai AS$100 bilion dan telah dimulakan sejak tahun 2015.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline