News & Articles Projek Taman Kersani Kuala Pilah penuhi keperluan pembeli

Projek Taman Kersani Kuala Pilah penuhi keperluan pembeli


5 Feb 2024
Projek Taman Kersani Kuala Pilah penuhi keperluan pembeli
KUALA PILAH: Syarikat pemaju perumahan tempatan, Sani-Map Development Sdn Bhd (SMD) melancarkan projek perumahan terbaharu dan ketiganya di Negeri Sembilan iaitu Taman Kersani di sini, yang membabitkan pembinaan rumah teres setingkat, dua tingkat dan berkembar, semalam.

Pengerusi syarikat berkenaan, Datuk Wan Johani Wan Hussin, berkata sebelum ini syarikat itu melaksanakan dua projek lain iaitu Taman Belimbing Height dan Taman Belimbing Perdana, masing-masing di Seremban.

Katanya, Taman Kersani membabitkan pembinaan sebanyak 336 unit rumah kategori rumah teres setingkat, rumah teres dua tingkat dan rumah berkembar dua setengah tingkat yang berharga antara RM358,000 hingga RM532,000.

"Selain itu, terdapat 67 unit rumah kos rendah Type A berharga RM80,000 yang dikhususkan untuk golongan berpendapatan rendah dan B40 dengan setiap pembeli rumah ini perlu berurusan dengan Unit Perumahan Kerajaan Negeri Sembilan.

"Ini adalah satu-satunya projek pembangunan perumahan di daerah Kuala Pilah. Terletak di lokasi yang strategi di Jalan Melang berhampiran Taman Sentosa iaitu hanya sekitar dua kilometer dari Pekan Kuala Pilah.

"Projek ini diyakini mampu memenuhi keperluan penduduk Kuala Pilah khususnya untuk mendapatkan rumah kediaman yang mereka diinginkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan Taman Kersani yang disempurnakan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan dan turut hadir, Pegawai Daerah, Mohd Faizal Abdul Manap serta Pengarah syarikat, Chua Teck Keong.

Wan Johani berkata, pihaknya yakin projek perumahan itu yang terletak dalam kawasan strategi dan berhampiran dengan pelbagai kemudahan prasarana lengkap termasuk sekolah, kolej matrikulasi, pusat pertadbiran daerah dan pusat komersial Kuala Pilah, akan mendapat perhatian pembeli.

"Projek ini yang bakal siap dalam tempoh 24 bulan seharusnya menjadi pilihan pembeli kerana berada dalam kawasan pembangunan bandar Kuala Pilah yang sedang pesat membangun," katanya.

Sementara itu, Adnan dalam ucapannya, menyokong pembinaan projek perumahan berkenaan kerana dapat memenuhi keperluan penduduk daerah itu untuk memiliki kediaman yang selesa dan mudah diakses.

Beliau berkata, pembinaan kediaman berkenaan di lokasi strategik dapat merancakkan lagi program pembangunan selain menambah nilai kepada daerah Kuala Pilah secara keseluruhannya.

"Selaku Ahli Parlimen kawasan ini, saya mengalu-alukan projek kediaman ini kerana ia dapat memenuhi keperluan penduduk terutama golongan muda untuk mendapatkan kediaman yang mampu memenuhi cita rasa serta di lokasi yang strategik.

"Saya berharap dengan adanya pembinaan Taman Kersani ini, akan memberi nilai tambah kepada pembangunan dan kemajuan daerah ini.

"Malah, tawaran pemaju membina 67 unit rumah teres setingkat berharga RM80,000 untuk golongan berpendapatan rendah, amatlah dihargai," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran SMD, Nur Aiman Aqilah Mothar, berkata sambutan orang ramai terhadap projek Taman Kersani amat memberangsangkan walaupun ia baharu dilancarkan secara rasmi.

Menurutnya, pembeli bukan sahaja dari kalangan yang menetap di Kuala Pilah dan sekitarnya, malah ada juga yang datang dari Ipoh dan kawasan Lembah Klang yang turut mengambil peluang menempah unit rumah.

"Alhamdulillah, sambutan daripada pembeli amat memberangsangkan. Syarikat juga mendapat kerjasama baik dengan institusi kewangan tempatan dalam membantu pembeli memudahcara proses mendapatkan pembiayaan.," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai projek terbabit boleh menghubungi Nur Aiman Aqilah Mothar di talian 011-35090823.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline