LakePoint Central daya tarikan baharu Setia AlamImpian
SHAH ALAM: Pemaju hartanah, S P Setia Bhd, yakin kewujudan pusat komersial terbaharunya, LakePoint Central mampu menjadi daya tarikan baharu untuk menarik bakal pembeli berpotensi di perbandaran Setia AlamImpian seluas 499.78 hektar di Shah Alam.
Pengurus Besar Setia AlamImpian, Datuk Muhamad Zaili Muhammad Yusof, berkata LakePoint Central adalah sebahagian daripada pembangunan yang baru siap dibina Julai tahun lalu.
Katanya, selain LakePoint Central yang adalah sebagai kawasan runcit, LakePoint mempunyai tiga elemen lain iaitu LakePoint Club (rumah kelab), LakePoint Gallerie (galeri jualan) dan LakePoint Park (kawasan rekreasi).
"LakePoint Central adalah sebuah pusat komersial terbaharu di Setia AlamImpian yang menawarkan ruang perniagaan dua tingkat kepada peniaga untuk menawarkan produk atau servis yang bersesuaian kepada komuniti.
"Antara keunikan LakePoint Central adalah kedudukannya yang terletak bersebelahan dengan LakePoint Club dan LakePoint Park iaitu taman seluas 12.54 hektar.
"Ketiga-tiga tempat ini berhubungan antara satu sama lain kerana terdapatnya akses terus yang memudahkan pergerakan pengunjung dengan hanya berjalan kaki.
"Dengan adanya jaringan hubungan ini, LakePoint Central akan menerima limpahan pengunjung yang datang ke taman ataupun rumah kelab," katanya kepada BH.
Muhamad Zaili berkata, LakePoint Central bukan hanya sekadar pusat perniagaan, malah ia juga adalah satu pusat komuniti terutamanya bagi penduduk di sini.
Katanya, ini adalah kerana selain menjadi tempat untuk pengunjung berkunjung ke kafe dan restoran yang ada bagi menikmati masa bersama keluarga dan rakan, LakePoint Central juga ada menganjurkan aktiviti di hujung minggu seperti 'FitBeat Sunday' iaitu aktiviti senaman 'pound stick' yang semakin popular dalam kalangan penggemar aktiviti sihat.
"Selain itu, pihak pemaju bercadang untuk mengembangkan lagi aktiviti di hari minggu di LakePoint Central yang bertemakan seni sesuai dengan konsep perbandaran iaitu 'Arts Inspired Living'.
"Seiring dengan konsep 'Arts Inspired Living', antara yang menarik di LakePoint Central ialah lukisan-lukisan mural yang boleh didapati di tingkat satu.
"Terdapat beberapa lukisan mural yang pastinya akan menarik perhatian pengunjung dan sesuai untuk dirakamkan dalam gambar sebagai kenangan.
"Antara lukisan mural yang ada di LakePoint Central bermotifkan tujuh presint seni yang dikenali sebagai 'Cinematic Arts', 'Digital Arts', 'Industrial Arts', 'Musical Arts', 'Performing Arts', Fine 'Arts dan 'Minimalist Arts'," katanya.
Setia AlamImpian turut menawarkan rumah kelab eksklusif khusus untuk pemilik rumah di perbandaran idengan antara kemudahan ditawarkan adalah dewan yang boleh memuatkan sehingga 1,000 tetamu sesuai untuk pelbagai majlis seperti perkahwinan, makan malam, mesyuarat dan seminar.
Selain itu, terdapat kemudahan lain seperti empat gelanggang badminton bertaraf antarabangsa, sebuah gelanggang futsal, kolam renang infiniti bersaiz Olimpik serta kemudahan kolam renang kanak-kanak, dan kemudahan sauna.
LakePoint Park pula merangkumi kawasan taman seluas 12.54 hektar dan menawarkan 23 keunikan kepada pengunjung seperti air pancut berirama, jambatan ekpresi, taman permainan kanak-kanak bertemakan gabungan tujuh elemen landskap seni, taman trisikal, taman papan luncur, pavilion, trek joging, amphitheater terbuka dan kawasan menarik yang sesuai untuk aktiviti riadah seisi keluarga.
Jumlah pengunjung bulanan di LakePoint Park dianggarkan sekitar 7,000 hingga 10,000 orang.
Perbezaan LakePoint Park dengan taman lain berdekatan ialah air pancut berirama yang dibuka pada waktu malam pada hujung minggu.
Source: Bharian.com.my