News & Articles TRX Residences wujud versi baharu Kuala Lumpur

TRX Residences wujud versi baharu Kuala Lumpur


13 Feb 2024
TRX Residences wujud versi baharu Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Pembukaan hab gaya hidup The Exchange Tun Razak Exchange (TRX) dan TRX City Park pada 29 November 2023 lalu bukan sahaja mencetuskan fenomena dalam kalangan rakyat Malaysia, malah terus menjadi tunjang utama kemajuan dalam bidang digital.

Setakat hari ini, The Exchange TRX menerima maklum balas positif mengenai pelbagai ciri yang disediakan, jenama baharu yang diperkenalkan, kawasan permainan yang hebat dan ruang komuniti yang dihasilkan dengan penuh tumpuan perincian dan menepati piawaian bertaraf dunia.

Menempatkan kira-kira 400 kedai di kawasan seluas 1.3 juta kaki persegi, The Exchange TRX adalah hasil usaha sama antara kumpulan hartanah dan infrastruktur antarabangsa terkemuka, Lendlease dari Australia dan pemaju induk pusat kewangan antarabangsa, TRX City Sdn Bhd.

Pada masa yang sama, mereka turut memperkenalkan TRX Residences yang terletak di tengah-tengah The Exchange TRX yang menjadi Daerah Perniagaan Pusat (CBD) baharu Kuala Lumpur dan mercu tanda destinasi.

Dirasmikan pada September 2023 oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, TRX Residences disepadukan dalam The Exchange TRX dan direka untuk semua peringkat umur.

Selain memperkenalkan poskod baharu 55188, beliau kagum dengan perubahan positif yang bakal dilakukan TRX Residences dan seterusnya mewujudkan versi baharu Kuala Lumpur.

TRX Residences memberikan ketersambungan, kemudahan, nilai dan kemampanan yang lebih baik menerusi komuniti terancang induk yang menawarkan pengalaman menarik dengan cara yang selesa dan selamat.

Ia boleh diakses menggunakan pengangkutan awam Transit Pantas Massa (MRT) laluan Kajang atau Putrajaya, selain memberi kemudahan kepada pengunjung untuk meneroka The Exchange TRX tanpa perlu keluar dari stesen.

Pengguna lebuh raya pula boleh menggunakan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) atau Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE) yang baru dibuka melalui akses terowong bawah tanah bagi memastikan keselamatan pejalan kaki di aras tanah.

Ia juga boleh diakses melalui satu-satunya rangkaian laluan pejalan kaki yang menawarkan sambungan dari KLCC dan Bukit Bintang.

Selain itu, TRX Residences turut memperkenalkan Aplikasi Komuniti Pintar khas bagi memudahkan penduduk berinteraksi dengan masyarakat dan kawasan.

Ruang untuk semua

Presint The Exchange TRX direka untuk acara dan aktiviti dengan pelbagai ruang berkualiti tinggi bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai lokasi acara tumpuan antarabangsa.

Setakat ini, ia menjadi tuan rumah kepada selebriti antarabangsa seperti Tony Leung dari Hong Kong, Kim Han-bin atau lebih dikenali sebagai B.I, Cha Eun Woo dan lain-lain dari Korea.

The Exchange TRX turut dilengkapi taman atas bumbung seluas 4.05 hektar yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Terdapat kawasan permainan basah yang pastinya menarik minat kanak-kanak kecil, manakala kanak-kanak lebih tua pula akan tertarik dengan stesen pendakian atau berlari-lari di Sunlight Plaza.

Penggemar makanan pula boleh menuju ke stesen makanan dan minuman lalu menjamu selera di taman, manakala pencinta alam boleh berjalan kaki di sekitar hutan bandar dan banyak lagi termasuk Events Lawn, Water Pond serta Herb Garden.

Terdapat lebih 1,000 pokok dan 150,000 tumbuhan yang dilabelkan untuk tujuan pendidikan dan semuanya termasuk kayu di taman itu diperoleh secara mampan.

Kawasan permainan direka khusus untuk mempamerkan sejarah, geografi dan budaya supaya ia menjadi pengembaraan pendidikan buat pengunjung.

The Exchange TRX turut menyediakan air pancut yang bersih untuk diminum bagi menghilangkan dahaga selepas bersiar-siar di luar taman.

Justeru, pengunjung boleh berehat sebelum kembali masuk ke dalam The Exchange TRX untuk menyejukkan badan dan menjamu selera.

Unit perdana TRX Residences kini dilancarkan sejajar dengan pembukaan presint bagi menawarkan inventori baharu untuk semua jenis tingkat dan pemandangan kediaman.

Layari www.trxresidences.my atau hubungi 03-2385 9800 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai TRX Residences Discovery and Experience Gallery.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah