News & Articles Kerajaan sentiasa beri peluang kepada golongan berpendapatan rendah miliki rumah

Kerajaan sentiasa beri peluang kepada golongan berpendapatan rendah miliki rumah


1 Mar 2024
Kerajaan sentiasa beri peluang kepada golongan berpendapatan rendah miliki rumah
KUALA LUMPUR: Masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah dan tidak mempunyai pendapatan tetap masih berpeluang untuk memiliki rumah sendiri, kata seorang pengarah syarikat pengurusan hartanah.

Pengarah BOS Group Sdn Bhd Cha Yeh Chain berkata kerajaan sentiasa memberi peluang kepada golongan tersebut untuk memiliki kediaman sendiri seperti melalui program Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Malah, katanya peluang untuk memiliki rumah di Malaysia adalah lebih mudah berbanding di negara lain seperti Australia.

"Di Australia, kalau nak beli rumah yang sedang dibina, pembeli perlu membayar 10 peratus wang pendahuluan dahulu. Jika harga rumah itu AU$500,000 (AU$1=RM3.13), mereka perlu bayar AU$50,000.

"Selepas rumah siap, baru boleh mohon pinjaman. Tetapi jika permohonan tidak diluluskan, wang pendahuluan akan 'hangus'.

"Di Malaysia, (situasinya) tidak begitu. Kita ada insentif daripada pihak pemaju dan bank yang membenarkan pembeli mendapatkan pinjaman semasa rumah sedang dibina termasuk program 'zero down payment' dan 'zero deposit' daripada pemaju," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Skim SJKP menyediakan pembiayaan sehingga 120 peratus untuk rumah berharga RM300,000 yang membolehkan rakyat berpendapatan rendah, berumur 18 tahun dan ke atas mendapat pinjaman perumahan selama 35 tahun atau sehingga mencapai usia 70 tahun.

Lebih mesra disapa sebagai Bos Molly di media sosial, katanya ramai rakyat Malaysia yang tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri kerana tidak cekap dalam pengurusan kewangan, selain membeli rumah yang tidak berpadanan dengan pendapatan mereka.

Selain itu, katanya ramai pembeli berputus asa untuk memohon pinjaman kali kedua selepas permohonan pertama ditolak disebabkan pendapatan yang tidak seberapa.

"Mungkin mereka pernah memohon pinjaman, tetapi ditolak, jadi mereka putus asa untuk membeli rumah. Sejak kebelakangan ini, selepas SJKP dilancarkan, mereka menerima permohonan daripada golongan ini," katanya.

Cha turut menasihatkan generasi muda yang ingin membeli rumah membuat perancangan sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan dan meninjau projek perumahan yang berpadanan dengan pendapatan mereka.

"Contohnya di Singapura dan Hong Kong, generasi muda sudah berputus asa untuk membeli rumah dan banyak menghabiskan wang untuk membeli barangan berjenama. Di Malaysia, rumah masih ditawarkan pada harga mampu milik.

"Justeru, saya menasihatkan generasi muda di Malaysia supaya membeli rumah dahulu dengan merancang kewangan dan utamakan apa yang perlu dibeli," katanya.

Cha menerusi nama panggilan Bos Molly kini mempunyai lebih sejuta pengikut di media sosial seperti aplikasi TikTok, Facebook, YouTube dan Instagram dengan menghasilkan kandungan berbentuk pendidikan mengenai isu hartanah di Malaysia.

-- BERNAMA

Source: astroawani.com

Latest Posts
  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah