News & Articles PEMBANGUNAN TANAH RIZAB MELAYU BANTU PEMILIKAN RUMAH, SEIMBANG KEDUDUKAN DI PUSAT BANDAR

PEMBANGUNAN TANAH RIZAB MELAYU BANTU PEMILIKAN RUMAH, SEIMBANG KEDUDUKAN DI PUSAT BANDAR


5 Mar 2024
PEMBANGUNAN TANAH RIZAB MELAYU BANTU PEMILIKAN RUMAH, SEIMBANG KEDUDUKAN DI PUSAT BANDAR
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Pembangunan tanah rizab Melayu khususnya dalam pembinaan lebih banyak rumah mampu milik mampu membuka peluang kepada Bumiputera untuk memiliki kediaman sendiri terutama di kawasan pusat bandar.

Profesor Kehormat Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Dr Mansor Mohd Noor berpandangan langkah itu juga dapat membantu menyeimbangkan kedudukan Bumiputera di kawasan bandar, yang penting bagi tujuan perpaduan.

"Perancangan pembangunan ini juga perlu dibuat secara menyeluruh iaitu membina rumah mampu milik yang disertakan dengan zon komersial dan kemudahan infrastuktur lengkap supaya dapat menyediakan persekitaran kehidupan yang baik.

“Keutamaan juga boleh diberikan kepada pemain industri kecil dan sederhana untuk membantu mereka bersaing di pusat bandar dan pada masa sama, menjadi punca pendapatan atau membawa limpahan ekonomi kepada golongan Bumiputera di kawasan sekitar," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan juga perlu tegas supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan M40 dan B40 Bumiputera di pusat bandar yang lebih memerlukan kemudahan itu berbanding mereka yang berkemampuan untuk bersaing dalam pasaran hartanah di kawasan terbabit.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya antara lain berkata kerajaan bersetuju menyediakan Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik dalam kadar segera.

Beliau turut memberi jaminan akan memastikan sejumlah 200 ekar (kira-kira 80.9 hektar) tanah kerajaan termasuk 50 ekar (20.23 hektar) tanah di Bandar Malaysia
kekal dimiliki orang Melayu bagi menjamin ketersediaan perumahan mampu milik untuk mereka kekal di kawasan pusat bandar.

Bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan pelaksanaan rumah mampu milik di tanah rizab Melayu, Mansor berharap kerajaan tegas memberi kebenaran membangun kepada syarikat dengan rekod kejayaan supaya tidak disalah guna oleh pihak yang mencari peluang dalam kemudahan golongan Bumiputera.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan pula menyifatkan usaha menjamin tanah rizab Melayu itu 'penting dilakukan sekarang' untuk masa depan generasi Bumiputera.

Beliau berkata pembangunan di tanah rizab Melayu juga dapat meningkatkan nilai pasaran dan bangunan di tanah tersebut termasuk rumah mampu milik dan pada masa sama, membawa limpahan ekonomi kepada pemain industri berkaitan.

Mohamed Fadzill berkata beliau berharap perancangan di tanah rizab Melayu benar-benar dilaksanakan kerana masih ada yang tidak dibangunkan walaupun kedudukannya strategik dan berpotensi.

"Kali ini, kerajaan perlu menunaikan janjinya. Semakin lama semakin sukar untuk generasi Melayu dan Bumiputera membeli rumah khususnya di bandar besar kerana harga yang terlalu tinggi.

"Jika kerajaan tidak mengambil tindakan dalam menjamin tanah rizab Melayu sekarang, siapa yang boleh melakukannya?" kata beliau.

-- BERNAMA

Source: Bernama.com

Latest Posts
  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah