Kerajaan perlu kaji semula penjualan rumah PRR - HBA
KUALA LUMPUR: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula pendekatan untuk menjual unit Program Residensi Rakyat (PRR), model perumahan awam yang baru dicadangkan pada harga diskaun.
Setiausaha Agung Kehormat HBA, Datuk Chang Kim Loong berkata, rumah PRR tidak sepatutnya dijual, sebaliknya, hanya disewakan kepada pemohon yang layak, antara lain sebagai sebuah rumah transit.
"Di sinilah di mana kumpulan berpendapatan rendah boleh hidup dalam keadaan selesa dan membayar sewa rumah yang rendah, sambil berusaha ke arah meningkatkan ekonomi kehidupan mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
PRR telah diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 8 Mac, di mana di bawah model perumahan baharu itu, setiap unit yang dibina dengan kos RM300,000 akan dijual pada RM60,000, dengan sehingga RM15,000 daripada pembayaran pembelian akan diperuntukkan untuk wang penyelenggaraan dan dana terikat.
Chang berkata, beliau melihat penjualan unit PRR pada harga diskaun sedemikian, akan membawa lebih banyak kemudaratan termasuk eksploitasi harga sewa atau jualan semula oleh pencatut, yang seterusnya menggagalkan usaha menyelesaikan isu rumah mampu milik untuk kumpulan berpendapatan rendah dalam jangka masa panjang.
Sebaliknya, Chang kekal dengan idea bahawa model baharu perumahan perlu menjadi rumah transit dan sekiranya ia menjadi kenyataan, beliau mencadangkan supaya kementerian bekerjasama dan menjalankan latihan kemahiran atau latihan semula di PRR, untuk mengajar kemahiran yang membolehkan penduduknya mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
Beliau juga berpendapat, bahawa semakan penyewaan penduduk PRR perlu dijalankan sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun, bagi memastikan hanya pemohon yang layak terus tinggal.
"Penduduk yang taraf ekonomi mereka sudah bertambah baik, perlu keluar dan memberi laluan kepada pemohon yang lebih layak dan sebenarnya, mengenai induksi kepada penduduk, kementerian perlu menekankan bahawa unit PRR dimaksudkan sebagai rumah transit sehingga mereka boleh membeli rumah mereka sendiri," katanya. - BERNAMA
Source: astroawani.com