MGB Bhd peroleh kontrak RM207.30 juta bagi pembangunan di Puchong
Kuala Lumpur: MGB Berhad (MGB), penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, semalam, mengumumkan bahawa anak syarikatnya, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd menerima surat lantikan bernilai RM207.30 juta daripada Anuar Aziz Architect bagi pihak Astana Modal Sdn Bhd untuk projek pembangunan di Puchong, Mukim Dengkil, Sepang, Selangor.
MGB dalam kenyataannya berkata, kontrak ini terbahagi kepada dua fasa pembangunan di mana Kontrak Fasa 1 terdiri daripada satu blok 34 tingkat dengan 608 unit pangsapuri perkhidmatan, satu blok podium tujuh tingkat (Podium 1), satu blok podium kemudahan enam tingkat, satu unit ruang sampah dan satu unit pondok pengawal.
Katanya, Fasa 2 pula terdiri daripada satu blok 29 tingkat dengan 391 unit pangsapuri perkhidmatan dan satu blok podium enam tingkat (Podium 2).
"Pembinaan projek pembangunan ini dijangka bermula pada 1 Jun 2024 bagi Fasa 1, manakala untuk Fasa 2, projek akan bermula pada 2 Februari 2025, masing-masing untuk tempoh 27 bulan dan 24 bulan.
"Projek ini sebahagian daripada pembangunan perbandaran D'Island Residence oleh LBS Bina Group Berhad dan untuk pembangunan ini, MGB akan menggunakan panel konkrit pratuang IBS yang dihasilkan di kilangnya di Nilai," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Lim Hock San berkata, dengan kontrak ini, buku pesanan tertunggak meningkat kepada RM1.27 bilion,
Beliau berkata, bagi segmen pembangunan hartanah, pembangunan kami mempunyai anggaran Nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.21 bilion.
"Ini kontrak pertama bagi tahun 2024 yang akan memberikan kami pendapatan kukuh dan stabil sehingga tahun 2027," katanya.
Lim berkata, dalam usaha untuk meningkat dan mengekalkan buku pesanan tertunggak MGB akan menggunakan kepakaran dan pengalaman yang diperoleh daripada pembuatan panel konkrit pratuang IBS, yang dimulakan pada
2018.
"Inisiatif ini disokong oleh teknik dan kaedah pembinaan yang selaras dengan usaha kami untuk menyediakan produk yang berkualiti kepada pelanggan.
"MGB peka dan optimis untuk melangkah ke hadapan selain berhasrat untuk meningkatkan lagi perkhidmatan yang sedia ada melalui kemajuan teknologi di samping meneroka peluang baharu bagi memenuhi permintaan serta piawaian industri untuk pelanggan kami," katanya.
Source: hmetro.com.my