News & Articles UNTUNG BERSIH SCIENTEX MELONJAK 32.7 PERATUS KEPADA RM141.01 JUTA BAGI SUKU KEDUA

UNTUNG BERSIH SCIENTEX MELONJAK 32.7 PERATUS KEPADA RM141.01 JUTA BAGI SUKU KEDUA


29 Mar 2024
UNTUNG BERSIH SCIENTEX MELONJAK 32.7 PERATUS KEPADA RM141.01 JUTA BAGI SUKU KEDUA
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Keuntungan bersih Scientex Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2024 melonjak 32.7 peratus kepada RM141.01 juta daripada RM106.29 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun kewangan 2023.

Perolehan meningkat 11.7 peratus kepada RM1.09 bilion daripada RM978.39 juta bagi tempoh yang sama.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Scientex menjelaskan peningkatan perolehan dan keuntungan bersih itu didorong oleh prestasi lebih baik daripada bahagian hartanah.

Pembuat pembungkusan dan pemaju hartanah itu memaklumkan bahawa bahagian hartanah mencatatkan perolehan berjumlah RM456.9 juta, menunjukkan kenaikan 41.3 peratus daripada RM323.3 juta.

Perolehan lebih tinggi itu didorong oleh kemajuan pembinaan yang berterusan bagi semua pembangunan di wilayah utara, tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.

“Selain itu, pelancaran baharu kami di Sungai Dua (Pulau Pinang), Sungai Petani (Kedah), Ipoh (Perak), Jasin (Melaka) and Pulai (Johor) turut meraih sambutan baik sekali gus menyumbang lagi kepada peningkatan perolehan.

“Sejajar dengan perolehan lebih tinggi yang dicatatkan, keuntungan operasi melonjak kepada RM127.3 juta daripada RM89.1 juta yang direkodkan pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.

Menurut Scientex perolehan daripada pembungkusan susut kepada RM635.8 juta daripada RM655.1 juta yang dicatatkan pada suku kedua tahun kewangan 2023, terutama disebabkan permintaan pasaran eksport yang suram daripada segmen pembungkusan pengguna.

Scientex mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM278.85 juta bagi tempoh kewangan enam bulan berakhir 31 Jan, 2024 daripada RM213.47 juta tempoh sama tahun kewangan 2023 manakala perolehan sebanyak RM2.20 bilion, kenaikan 9.5 peratus daripada RM2.0 bilion.

Mengenai prospek, syarikat itu menjelaskan bahawa prospek pasaran global adalah mencabar ditambah dengan kenaikan kos tenaga dan tekanan inflasi yang terus meningkatkan kos operasi.

“Walaupun sentimen pasaran adalah suram, bahagian pembungkuan dijangka mencatatkan permintaan lebih baik bagi produk kami pada suku kewangan akan datang manakala bahagian hartanah optimis bahawa permintaan terhadap rumah mampu milik akan kekal berdaya tahan pada tahun kewangan semasa,” jelasnya.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Scientex Lim Pen Jin berkata pihaknya menumpukan kepada teras bahagian pembungkusan untuk memacu pertumbunan mampan selain optimis mengenai usaha mengekalkan prestasi bahagian itu.

“Bagi bahagian hartanah, permintaan kukuh terhadap hartanah mampu milik terus menyokong pertumbuhan, dengan semua pelancaran baharu kami di seluruh negara mencatatkan pembelian yang tinggi,” katanya.

Meskipun sentimen pasaran lemah namun bahagian pembungkusan dijangka dapat mencatatkan peningkatan permintaan terhadap produknya pada tempoh suku kewangan akan datang, manakala bahagian hartanah yakin bahawa permintaan untuk rumah mampu milik akan kekal berdaya tahan bagi tahun kewangan semasa.

-- BERNAMA

Source: Bernama.com

Latest Posts
  • 别让天灾摧毁你的房顶!

  • Prime residential, KL city submarket expected to stay dynamic: JLL Malaysia

  • Iconic Worldwide lancar Iconic Harmony projek mewah mampu milik

  • 地震来势汹汹 抗震技术很重要

  • 70 pct of property development in Forest City sold: EXCO