News & Articles Iconic Harmony rumah mampu milik bermula RM280,000

Iconic Harmony rumah mampu milik bermula RM280,000


23 Apr 2024
Iconic Harmony rumah mampu milik bermula RM280,000
BUKIT MERTAJAM: Unit milik penuh Iconic Worldwide Bhd, Iconic Maison Sdn Bhd menyasarkan kadar pembelian melebihi 70 peratus bagi pembangunan kediaman yang baru dilancarkan, Iconic Harmony, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM300 juta susulan permintaan tinggi daripada pembeli.

Pengerusi Eksekutif Iconic Worldwide, Datuk Seri Tan Kean Tet, berkata projek itu meraih minat yang tinggi daripada pembeli memandangkan harganya yang mampu milik ditambah dengan penekanan syarikat terhadap kualiti bagi semua produknya.

Beliau berkata, projek itu akan menawarkan 751 rumah mampu milik pegangan bebas dalam bangunan 36 tingkat, dengan setiap unit kediaman menyediakan ruang seluas 900 kaki persegi, termasuk tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.

"Projek ini ditawarkan pada harga bermula daripada RM280,000 dan seterusnya. Kami juga menawarkan pakej berperabot lengkap supaya pembeli tidak perlu membayar sejumlah besar wang tunai untuk pengubahsuaian dan reka bentuk dalaman semasa pengambilan kunci kerana akan dimasukkan dalam pinjaman mereka," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran awal projek itu di sini, semalam.

Menurut kenyataan selepas pelancaran itu, projek Iconic Harmony yang terletak di Alma, Bukit Mertajam dan dijangka siap pada suku pertama 2028 itu kini dibuka untuk tempahan.

"Sebagai pembangunan hartanah 'mewah mampu milik', Iconic Harmony mengetengahkan lebih 30 kemudahan termasuk kolam infiniti, taman permainan air kanak-kanak, gelanggang bola keranjang separuh gelanggang, jakuzi, kawasan hijau yang subur, kawasan rekreasi, bilik gim yang canggih dan hab komuniti," jelas syarikat itu.

Kean Tet berkata, Iconic Maison mengadakan pelancaran awal dengan jayanya apabila komponen runcit projek itu, yang meliputi 16 lot kedai dua tingkat, habis dijual dalam masa lima minit.

"Permintaan tinggi untuk unit komersial membawa kepada proses pemilihan yang kompetitif.

"Berdasarkan sambutan positif yang diterima semasa pelancaran unit pameran bulan lalu, kami menjangkakan ini menjadi antara projek kami yang paling berjaya," katanya.

Iconic Harmony terletak secara strategik di persimpangan Jalan Rozhan dan Jalan Alma, hanya beberapa minit dari rangkaian kedai makanan dan minuman, bank, pasar basah, sekolah, Hospital Bukit Mertajam dan beberapa pasar raya seperti Pusat Beli-belah AEON dan Pasar Raya Besar Lotus's.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • KSL beli tanah RM211.58 juta di Pulai bagi projek perumahan

  • Cover Story: KTI Landmark charts new horizons with ACE Market listing

  • 学习香港 提升大马共管生活

  • Property buyers shift towards affordable housing

  • PKNS Square beri 'nyawa' baharu pada pusat bandar Shah Alam