Galeri jualan Sunway Velocity 3 dibuka
KUALA LUMPUR: Pemaju komuniti utama, Sunway Property membuka galeri jualannya untuk Signature Home terbaharunya, Sunway Velocity 3 dan bersedia untuk pratonton fasa pertama pembangunan pada 4 Mei ini.
Sunway Velocity 3 mengikuti kejayaan pelancaran Sunway Velocity dan Sunway Velocity TWO yang kesemua unit kediaman telah dijual sepenuhnya.
Unit komersial di Sunway Velocity dan Sunway Velocity TWO juga disewa sepenuhnya.
Terletak di Kuala Lumpur, Fasa 1 pembangunan itu terdiri daripada dua blok kediaman servis yang akan terletak merentasi 1.39 hektar tanah utama, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.28 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property Wilayah Tengah dan Utara dan SPFM, Chong Sau Min, berkata pembangunan itu direka untuk golongan dewasa yang bekerja di kawasan Kuala Lumpur, profesional muda, penumpang, keluarga kecil, pembeli rumah kali pertama dan pelabur.
"Sunway Velocity 3, sebagai sebahagian daripada bandar bersepadu Sunway Velocity menawarkan ketersambungan dan akses yang hebat kepada kemudahan gaya hidup.
"Kami menjangkakan permintaan kukuh daripada pembeli yang mencari rumah mampu milik dan selesa didiami," katanya dalam satu kenyataan.
Sau Min berkata, pihaknya menerima sambutan hebat untuk kedua-dua pembangunan berikutan infrastruktur, pengangkutan awam dan kemudahan yang dirancang dengan baik.
Beliau berkata, menurut maklum balas pembeli, mereka mempunyai keyakinan yang tinggi dengan lebih 50 peratus pembangunan dimiliki dan diuruskan oleh Sunway.
"Kami yakin Sunway Velocity 3 akan diterima dengan baik," katanya.
Sunway Velocity 3 disambungkan terus ke Sunway Velocity dan Sunway Velocity TWO melalui jambatan penghubung di mana semua kemudahan gaya hidup boleh dijangkau di Sunway Velocity Mall dengan lebih satu juta kaki persegi kedai runcit, hiburan, makan dan riadah; Pusat Perubatan Sunway Velocity, Kolej Sunway @ Velocity, Sunway Velocity Hotel, peruncitan dan pejabat dan taman rekreasi pusat seluas 0.81 hektar.
Pembangunan itu bersambung terus dengan stesen MRT dan LRT.
Ia terletak hanya 470 meter ke Stesen MRT Cochrane yang membolehkan penduduknya mobiliti tanpa kereta yang menjimatkan masa dan kos pengangkutan, sambil meminimumkan pencemaran.
Sunway Velocity 3 boleh diakses melalui lebuh raya utama termasuk Jalan Tun Razak, SMART, NPE, KL-Seremban dan Lebuhraya Maju (MEX).
Ia juga hanya satu stesen dari hab kewangan Tun Razak Exchange (TRX) yang dianggarkan menempatkan lebih 45,000 profesional, ekspatriat dan pemilik perniagaan yang memuncak dengan potensi pelaburan dan pajakan yang besar untuk unit itu.
Source: Bharian.com.my