News & Articles PKNS Square beri 'nyawa' baharu pada pusat bandar Shah Alam

PKNS Square beri 'nyawa' baharu pada pusat bandar Shah Alam


2 May 2024
PKNS Square beri 'nyawa' baharu pada pusat bandar Shah Alam
SHAH ALAM: Projek pembangunan PKNS Square yang dijangka bermula hujung tahun ini akan memberikan nyawa baharu kepada pusat bandar Shah Alam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata PKNS Square adalah antara projek yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam meremajakan kawasan Seksyen 14.

Katanya, projek pembangunan bernilai RM2 bilion turut membabitkan pembangunan semula antaranya Pusat Beli Belah SACC, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan Menara MRCB.

"Pembangunan PKNS Square akan menghidupkan semula dan memberi nyawa baharu kepada pembangunan serta perancangan yang ada di sini yang mana sebahagiannya pada tema dan juga konsep 1980-an.

"Dengan pembaharuan yang kita akan buat, saya percaya kawasan ini akan lebih hidup dan ia akan memberikan semangat yang baharu kepada pusat bandar Shah Alam pada masa depan," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka PKNS di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas.

Amirudin berkata, perincian berkenaan projek peremajaan itu akan ditunjukkan oleh PKNS dalam konsep dan pelan pembangunan.

Katanya, projek pembangunan pusat bandar Shah Alam adalah projek progresif yang akan berlangsung dalam lapan hingga 10 tahun.

"Ia adalah satu proses yang berterusan dan itu sebenarnya bagus juga sebab kalau kita buat 'one-shot' boleh, tetapi isunya daripada skala kapasiti dan ekonomi serta aliran tunai akan perlu disusun, jadi satu persatu.

"Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ingin menghidupkan merancakkan kawasan ibu kota negeri iaitu Shah Alam, terutama di kawasan pusat bandarnya, Seksyen 14 dan sekitarnya akan 'mati' selepas jam 9 malam.

"Kita juga tidak mahu kawasan ini mati begitu sahaja dan hanya dihuni pada waktu siang. Jadi pada waktu malam atau waktu-waktu tertentu juga perlu diletakkan aktiviti-aktiviti supaya ia menjadi satu pusat ekonomi bukan sahaja pentadbiran," katanya.

Terdahulu, rumah terbuka PKNS dikunjungi kira-kira 3,000 pengunjung.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah