News & Articles Senna Puteri perbandaran baharu Lembah Klang Selatan

Senna Puteri perbandaran baharu Lembah Klang Selatan


6 May 2024
Senna Puteri perbandaran baharu Lembah Klang Selatan
SEPANG: IOI Properties Group (IOIPG) melancarkan Senna Puteri, perbandaran terbaharunya berkeluasan 47.35 hektar di Lembah Klang Selatan.

Pelancaran kediaman pertama Senna Puteri yang terletak berhampiran Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang menawarkan unit rumah bandar puncak bukit dijadualkan pada suku kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IOIPG, Teh Chin Guan, berkata kumpulan telah meneroka kawasan itu dengan pembelian tanah pada 2012, selepas mengiktiraf demografi dan kebolehcapaian yang berkembang pesat di kawasan terbabit didorong oleh ketersambungan jalan raya dan Laluan Rel Ekspres (ERL) yang baik serta institusi pendidikan dan peluang pekerjaan yang mencukupi.

"Visi kami untuk Senna Puteri adalah untuk mengikuti kejayaan Warisan Puteri, pembangunan bercampur bersepadu kami di Kota Warisan, Sepang. Ia dirancang untuk menjadi pembangunan bercampur yang terancang, mampan dengan rangkaian komprehensif komponen kediaman, komersial dan rekreasi.

"Melengkapkan aktiviti komersial, perindustrian dan perdagangan sedia ada di kawasan itu, kami komited untuk membawa pendekatan pembangunan unik IOIPG di sini melalui satu siri tawaran unit bertanah dan bertingkat yang menarik," katanya.

Senna Puteri memanfaatkan simpanan tanah strategik IOIPG dengan ketersambungan ke Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya, dan Lebuhraya Nilai-KLIA serta berdekatan dengan Putrajaya, Cyberjaya, dan Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Melengkapkan profil sambungan utamanya, perbandaran ini hanya lima minit dari stesen ERL Salak Tinggi, memudahkan akses ke lebih 170 destinasi di seluruh rangkaian rel bersepadu Lembah Klang yang semakin berkembang melalui hab transit KL Sentral.

Ia memanfaatkan pelbagai kemudahan pendidikan, komersial dan riadah berdekatan, seperti Universiti Xiamen Malaysia, Universiti Antarabangsa INTI, Mitsui Outlet Park, AEON Mall Nilai, dan Kelab Golf & Desa Kota Seriemas.

Menurut IOIPG, Senna Puteri mempamerkan pelan induk yang dirancang dengan teliti membabitkan pembangunan 12 fasa dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya, ia akan dilengkapi dengan kawasan rekreasi, kawasan hijau, balai raya, surau dan banyak lagi.

"Berikutan pelancaran kediaman pertamanya, IOIPG mempunyai rancangan untuk mengimbangi penawaran antara unit rumah bandar, rumah teres, kediaman bertingkat tinggi dan komersial, disesuaikan dengan teliti untuk keperluan pencari hartanah di kawasan itu, serta rumah mampu milik dalam menyokong agenda perumahan negara.

"Pelancaran ini akan dilancarkan pada suku tahun akan datang, memastikan bekalan kediaman berkualiti yang stabil untuk pasaran yang semakin berkembang di Lembah Klang Selatan," katanya.

Fasa pertama Senna Puteri menampilkan kediaman di puncak bukit yang dikelilingi oleh kehijauan merangkumi 386 unit rumah bandar atas bukit dengan saiz lot 26' x 65' yang dimajukan dalam kawasan seluas 7.2 hektar berpagar & berpengawal.

Pelancaran kediaman pertama Senna Puteri menawarkan unit rumah bandar tiga tingkat ditawarkan dengan luas binaan daripada 1,690 hingga 1,862 kaki persegi untuk unit bawah dengan susun atur tiga bilik tidur, tiga bilik air, manakala unit atas menampilkan binaan dari 2,336 hingga 2,454 kaki persegi dengan empat bilik tidur, tiga bilik mandi dan bilik solek.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah