News & Articles MAH SING BEKERJASAMA DENGAN BRIDGE DATA CENTRES LANCAR MAH SING DC HUB@ SOUTHVILLE CITY

MAH SING BEKERJASAMA DENGAN BRIDGE DATA CENTRES LANCAR MAH SING DC HUB@ SOUTHVILLE CITY


31 May 2024
MAH SING BEKERJASAMA DENGAN BRIDGE DATA CENTRES LANCAR MAH SING DC HUB@ SOUTHVILLE CITY
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Mah Sing Group Bhd membuat kemasukan sulungnya ke dalam sektor pusat data dengan pelancaran Mah Sing DC Hub@Southville City, dengan kerjasama Bridge Data Centres (BDC).

Berikutan penubuhan pusat data itu, kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian kerjasama, yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mah Sing memperuntukkan 60.70 hektar bank tanah di Southville City untuk pengembangan selanjutnya bagi menjadikannya Hab Pusat Data terkemuka dengan kapasiti terancang sehingga 500 megawatt (MW).

“Walaupun ini merupakan usaha Mah Sing ke dalam sektor pusat data, kerjasama dengan BDC di tanah awal seluas 7.10 hektar untuk pusat data dengan kapasiti terancang sehingga 100MW hanyalah sebagai permulaan.

“Kami membayangkan Mah Sing DC Hub@ Southville City menjadi ekosistem infrastruktur digital holistik, direka dengan teliti untuk menampung permintaan kecerdasan buatan (AI), skala besar, runcit dan penyedia perkhidmatan perusahaan,” kata pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ia berkata kemudahan tercanggih ini direka bentuk khusus untuk menyokong aplikasi canggih seperti pengiraan AI dan penyimpanan data berskala besar.

“Sehubungan itu, Mah Sing DC Hub bersedia untuk menarik pelanggan yang pelbagai, termasuk syarikat teknologi terkemuka, gergasi telekomunikasi dan institusi kewangan terkemuka.

“Langkah strategik ini menekankan komitmen Mah Sing untuk meningkatkan infrastruktur digital Malaysia, memacu inovasi teknologi dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini,” katanya.

Terletak secara strategik hanya 19 kilometer dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Southville City adalah sebuah perbandaran matang yang dilengkapi dengan infrastruktur penting untuk menyokong pembangunan utama ini, tambahnya.

“Dengan kedudukan berhampiran stesen pendaratan kabel baharu Telekom Malaysia (TM) di Morib, Selangor, Mah Sing DC Hub@Southville City akan dapat menyediakan rangkaian gentian gelap untuk hab pusat data.

“Dijangka siap pada suku pertama 2025, stesen pendaratan Morib TM akan menjadi tapak pendaratan utama bagi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata inisiatif usaha sama antara Mah Sing dan BDC ini sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan agenda transformasi digital Malaysia, mengukuhkan kedudukan negara sebagai lokasi utama untuk pelaburan pusat data di rantau Asia-Pasifik.

“Ia juga mencerminkan keyakinan dan kepercayaan kukuh yang dimiliki pelabur dalam persekitaran yang menyokong dan strategik kami. Penubuhan pusat data termaju di Southville City akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk infrastruktur digital, meletakkan Malaysia sebagai hab digital Asean,” katanya.

Source: Bernama.com

Latest Posts
  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah