News & Articles SEWA PPR KEPADA PIHAK LAIN: KPKT AKAN ADAKAN OPERASI BESAR-BESARAN - NGA

SEWA PPR KEPADA PIHAK LAIN: KPKT AKAN ADAKAN OPERASI BESAR-BESARAN - NGA


7 Jun 2024
SEWA PPR KEPADA PIHAK LAIN: KPKT AKAN ADAKAN OPERASI BESAR-BESARAN - NGA
IPOH, 6 Jun (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan operasi besar-besaran dalam masa terdekat bagi mengesan pemilik Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menyewakan rumah mereka kepada pihak lain termasuk warga asing.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memberi amaran itu dan KPKT akan menggunakan undangundang sedia ada bagi memastikan pemilik PPR tidak melanggar undang-undang kerana projek perumahan itu menerima banyak peruntukan subsidi oleh kerajaan.

“Kos kita (bina) sampai RM300,000 tetapi pembeli hanya membayar RM45,000 dulu dengan kata lain, setiap unit rumah kerajaan bayar lebih RM240,000 subsidi untuk mereka.

"Apabila mereka memohon, alasannya tiada rumah tetapi apabila dah dapat, tak duduk dan sewa kepada orang lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Jalan Utama Seri Botani dekat sini hari ini.

Nga berkata KPKT juga mendapati kebanyakan pemilik PPR melanggar kontrak dengan menyewakan rumah mereka kepada pekerja asing termasuk pendatang asing tanpa izin.

“Saya harap semua pemilik PPR wajib mematuhi syarat-syarat dalam kontrak kerana kita dapati ramai (pemilik) dapat (PPR), dia sewa kepada pekerja asing, ada juga sewa kepada pekerja asing tanpa izin. Perkara ini kita tidak akan kompromi,” katanya.

Sementara itu, Nga berkata KPKT akan melihat keperluan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif PPR di seluruh negara bagi mengatasi masalah vandalisme.

“Jangan paksa saya pasang CCTV dalam lif. Kami percaya rakyat Malaysia tidak memerlukan perkara seperti itu (pasang CCTV). Kita mesti beradab dan perlu sentiasa ada kesedaran sivik,” katanya.

Nga juga menggesa penduduk PPR supaya membayar yuran penyelenggaraan bagi memastikan segala kemudahan yang rosak dapat dibaiki untuk kegunaan penduduk.

Source: Bernama.com

Latest Posts
  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah