News & Articles Sime Darby Property mampu tampung permintaan pusat data dunia

Sime Darby Property mampu tampung permintaan pusat data dunia


13 Jun 2024
Sime Darby Property mampu tampung permintaan pusat data dunia
KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd bakal menampung lebih banyak permintaan pusat data kerana memiliki simpanan tanah dan kunci kira-kira yang kukuh, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis RHB Investment Bank, Loong Kok Wen, berkata Sime Darby Property berkedudukan baik untuk menggarap peluang yang muncul di sebalik gelombang pelaburan semasa, dipacu oleh kemasukan syarikat gergasi teknologi dunia di rantau Asia Tenggara.

"Syarikat ini sekarang memiliki lima projek taman perindustrian dengan keluasan kawasan tanah yang tinggi melebihi 2,000 ekar, dan kami percaya kemudahan asas sudahpun tersedia di tapak-tapak perindustrian ini memandangkan projek masih berjalan.

"Sime Darby Property merupakan syarikat yang berpengalaman dalam segmen pembangunan perindustrian dengan 30 peratus jumlah jualan hartanahnya datang daripada segmen ini," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Bulan lalu, Google mengumumkan hasratnya untuk membuat pelaburan sebanyak AS$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia menerusi pembinaan pusat data Google di Taman Perniagaan Elmina (EBP) yang akan memperkasa perkhidmatan digital terkenal syarikat gergasi teknologi itu seperti Search, Maps dan Workspace.

Sebaik sahaja ia mula beroperasi, Malaysia akan menjadi salah satu daripada 11 negara yang menempatkan prasarana pusat data Google.

Berdasarkan makluman yang diterima, negara dan kawasan di rantau Asia Pasifik yang menjadi pilihan untuk Google Cloud menjalankan operasinya termasuk India, Singapura, Jakarta, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Australia dan Seoul.

Kok Wen berkata, setakat ini, Google hanya mengumumkan pelaburan membabitkan prasarana pusat dan rantau Google Cloud yang mencecah nilai RM2 bilion (atau RM1.74 bilion mengikut nilai kontrak yang berjaya diraih oleh Gamuda).

"Namun begitu, kami berpandangan mungkin ada pelaburan lanjutan untuk fasa-fasa berikutnya di EBP pada peringkat seterusnya.

"Meskipun pusat data Google pada awalnya dianggarkan berkapasiti 80 megawatt (MW), seluruh tapak seluas 49 ekar yang disimpankan khas untuk Google di EBP mungkin boleh menampung kapasiti antara 200 hingga 250MW, mengikut anggaran kami," katanya.

Beliau menambah, pelaburan pusat data ini dijangka akan melonjakkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) milik Sime Darby Property dengan ketara daripada paras MYR4.4 bilion sekarang (termasuk aturan konsesi untuk Bandar Universiti Pagoh).

"Menjelang tahun kewangan 2026, kami menjangkakan AUM mungkin mencecah nilai RM6 bilion hingga RM7 bilion yang boleh menjana jumlah pendapatan berulang sebanyak RM120 juta hingga RM130 juta pada peringkat operasi.

"Ramalan perolehan tahun kewangan 2026 kami dinaikkan sekitar tiga peratus supaya mencerminkan sumbangan awal daripada pusat data Google memandangkan prasarana ini hanya akan selesai dibina pada separuh kedua 2026," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah