News & Articles Projek AHTV mampu lonjak permintaan hartanah di Tanjung Malim

Projek AHTV mampu lonjak permintaan hartanah di Tanjung Malim


19 Jun 2024
Projek AHTV mampu lonjak permintaan hartanah di Tanjung Malim
KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap hartanah di Tanjung Malim, Perak akan bergantung kepada kejayaan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), yang akan mengubah bandar itu menjadi hab automotif.

Penganalisis TA Securities, Tan Kam Meng, berkata pihaknya akan menumpukan perhatian terhadap lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia minggu ini sempena memperingati 50 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

"Kami percaya Perdana Menteri (China) akan melakukan susulan pelaburan AS$10 bilion Geely (Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd) di Tanjung Malim dan isu lain yang berkaitan termasuk kenderaan elektrik (EV) pertama PROTON yang akan dibangunkan bersama Geely.

"Kami menjangkakan pelaburan AS$10 bilion dalam AHTV akan merangsang permintaan perumahan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kam Meng berkata, lawatan beliau ke tanah seluas 457 hektar milik PGF Capital Bhd di Tanjung Malim baru-baru ini memberi gambaran bahawa peluang hartanah yang besar di PROTON City.

Beliau berkata, banyak kawasan yang belum dibangunkan lagi di situ, sekali gus menawarkan banyak peluang pembangunan perumahan.

Katanya, pihaknya percaya dengan pelaburan besar di AHTV akan menggalakkan permintaan perumahan, yang sangat baik untuk PGF.

"Difahamkan bahawa pekerja PROTON kebanyakannya tinggal di Rawang atau Slim River dan berulang alik ke PROTON City dengan menaiki kereta api.

"Ini disebabkan oleh kekurangan bekalan tempat tinggal di bandar itu, terutamanya rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan mereka," katanya.

PROTON City diwujudkan sekitar 1990 dan terletak antara bandar Tanjung Malim dengan Slim River.

Pengeluaran kereta PROTON di kilang berkenaan sepatutnya bermula pada 1998, namun ditangguhkan berikutan krisis kewangan Asia 1997 dan operasi kilang hanya bermula November 2003.

Pembangunan Tanjung Malim sebagai hab automotif negara akan dipacu oleh dua faktor besar iaitu perpindahan operasi kilang PROTON dari Shah Alam menjelang 2027 dan pelaburan Geely bersama-sama DRB-HICOM Bhd.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah