News & Articles Pembeli rumah boleh semak kawasan hartanah risiko bah hujung 2024

Pembeli rumah boleh semak kawasan hartanah risiko bah hujung 2024


3 Jul 2024
Pembeli rumah boleh semak kawasan hartanah risiko bah hujung 2024
PETALING JAYA: Pembeli rumah tidak lama lagi akan diberi pilihan mengenal pasti lokasi berisiko banjir menerusi portal sebelum membuat pembelian.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof, berkata portal berkenaan dijangka boleh diakses orang awam menjelang hujung 2024.

Beliau berkata, kementerian menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membangunkan portal perkongsian peta kejadian banjir.

“Bagi memastikan perkongsian peta ini dapat dimanfaatkan kepada semua lapisan masyarakat, JPS telah melaksanakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri, agensi persekutuan termasuklah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi di sektor swasta bermula tahun 2023 untuk menerangkan kelebihan perkongsian maklumat banjir ini bersama orang awam,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Katanya, pihak berkaitan telah memberikan maklum balas positif dan bersetuju peta kejadian banjir dikongsikan kepada orang awam agar pembeli tidak menjadi mangsa membeli rumah yang berisiko banjir di masa hadapan.

“Portal ini dijangka akan diluncurkan dan bersedia untuk diakses oleh orang awam pada penghujung tahun 2024,” katanya.

Fadillah menjawab soalan dibangkitkan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), berkait kesediaan kementerian dedah status risiko banjir bagi setiap projek perumahan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengkritik kelemahan dalam pengurusan Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) bernilai RM1 bilion.

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin, merujuk JPS dan pihak kementerian itu dengan menyatakan RM129 juta dibelanjakan PRAB tidak berbaloi kerana tidak dapat meramal aras air banjir serta masa dan lokasi banjir dengan tepat.

Pihak kementerian dalam maklum balas, berkata PRAB terbabit berbaloi dilaksanakan dengan keberkesanan sebenar keseluruhan 62.1%.

Source: Free Malaysia Today (FMT)

Latest Posts
  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari