News & Articles Model baharu perumahan awam dibentang dalam masa terdekat

Model baharu perumahan awam dibentang dalam masa terdekat


4 Jul 2024
Model baharu perumahan awam dibentang dalam masa terdekat
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membentangkan model baharu perumahan awam dikenali sebagai Program Residensi Rakyat (PRR) di Kabinet dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata setakat ini, 32 plot tanah telah diberikan kepada KPKT daripada hampir semua negeri untuk program berkenaan.

"Di bawah program ini, KPKT akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk pembangunan rumah mampu milik di mana tiada lagi kos tanah perlu dibayar sebagaimana sebelum ini.

"Jika dulu kerajaan persekutuan perlu membayar 35 peratus daripada kos tanah kepada kerajaan negeri, dengan PRR lebih banyak tanah di negeri dapat dibina dengan kediaman mampu milik.

"Sebagai contoh, jika peruntukan RM100 juta, sejumlah RM35 juta digunakan bagi membeli tanah. Sekarang ini, jumlah itu sepenuhnya untuk membina rumah yang lebih berkualiti," katanya kepada media selepas majlis perasmian Sidang Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) dan perasmian ARCHIDEX 2024 di sini, hari ini.

Perasmian ACMROCB dan ARCHIDEX disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kor Ming berkata model baharu pembangunan rumah mampu milik itu akan lebih inklusif dengan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura dan Korea Selatan akan dijadikan sebagai penanda aras.

"PRR akan menjadi lebih inklusif berbanding Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya.

Mac lalu, Kor Ming berkata, KPKT sedang merangka model baharu perumahan awam yang bersepadu, mampan, berbaloi untuk didiami, mempunyai daya maju komersial berkualiti, ruang hijau, pusat komuniti dan ciri-ciri lain.

Kos pembinaan setiap unit PRR katanya, akan dinaikkan kepada RM300,000 sekali gus menawarkan golongan berpendapatan rendah rumah berkualiti dengan bayaran harga berperingkat (piecemeal price).

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, KPKT akan melancarkan satu aplikasi yang boleh digunakan oleh setiap lapisan masyarakat menjelang tahun depan.

"Aplikasi ini akan memberi maklumat seperti lokasi risiko banjir kepada bakal pembeli. Jadi mereka boleh membuat pilihan yang lebih baik.

"Aplikasi ini juga boleh digunakan pemaju hartanah untuk menilai kesesuaian jenis projek sama ada teres, kondominium atau apartmen. Justeru, ia akan memudahkan keputusan mereka sebelum membangunkan projek lebih dinamik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata ARCHIDEX 2024 dijangka menjana transaksi perniagaan melebihi RM1 bilion, sekali gus menjadi edisi penganjuran terbesar dan paling berpengaruh setakat ini.

Katanya, pameran edisi ke-23 itu disertai kira-kira 700 pempamer dari 15 negara dan wilayah dengan jangkaan kehadiran lebih 40,000 pelawat dari lebih 100 negara.

"ARCHIDEX ialah pameran reka bentuk inovatif, teknologi termaju dan penyelesaian transformatif yang akan membentuk masa depan seni bina di rantau ini.

"Dengan mengetengahkan inovasi dan amalan mampan, pameran ini bertujuan untuk memberi inspirasi dan memacu industri ke hadapan," katanya.

ARCHIDEX yang menjadi festival seni bina Kuala Lumpur yang berlangsung sehingga Sabtu ini menghimpunkan syarikat terkemuka dalam seni bina, pembinaan dan reka bentuk di bawah satu bumbung.

Penganjuran ARCHIDEX bersempena penganjuran serentak ACMROCH anjuran KPKT dengan tema, 'Membina Masa Depan Mampan: Memperkukuhkan Kerjasama ASEAN-China dalam Perumahan dan Pembangunan Bandar untuk Kemakmuran Bersama'.

Bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, acara itu meraikan legasi hubungan diplomatik yang turut menggariskan hubungan intrinsiknya dengan pertumbuhan dan diplomasi negara dan masa hadapan.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunway to expand Sunway City Ipoh with RM4bil in investments

  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development