PR1MA teroka kerjasama strategik melestarikan rumah mampu milik
KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menyerahkan Surat Tunjuk Minat bagi meneroka kerjasama dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) serta memeterai semula Memorandum Persefahaman (MOU) bersama SANY Construction Industry Development (M) Sdn Bhd (SCID), anak syarikat SANY Global berpangkalan di China.
Kedua-dua langkah dibuat bagi meneruskan usaha agensi perumahan mampu milik utama di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu melestarikan pembangunan PR1MA di seluruh Malaysia, termasuk kediaman dan kemudahan.
Sesi penyerahan Surat Tunjuk Minat kepada Huawei Malaysia serta pertukaran MOU antara PR1MA dengan SCID disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Ia diadakan di Pavilion Malaysia bersempena Sidang Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan 2024 (ACMROCH 2024) dan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa 2024 (ARCHIDEX 2024) di sini.
Kerjasama yang diteroka oleh PR1MA dengan Huawei Malaysia adalah melalui anak syarikatnya, PR1MA Communications Sdn Bhd (PCSB).
Ia bertujuan untuk mengintegrasikan peranti pintar Huawei Malaysia ke dalam pembangunan PR1MA.
Sementara itu, pemeteraian semula MOU antara PR1MA dan SCID adalah lanjutan daripada MOU yang telah ditandatangani pada 1 April 2023, yang kini diperbaharui bagi memperkukuhkan kerjasama di bawah agenda pembinaan, pembangunan modal insan serta pengurusan lestari berlandaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir
urus (ESG).
Usaha ini selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI bulan lalu untuk meneroka potensi kerjasama di antara Malaysia dan China dalam bidang perumahan, teknologi serta perancangan bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff, berkata
perbadanan itu berharap kerjasama strategik bersama Huawei akan memastikan integrasi peranti pintar yang inovatif ke dalam kediaman PR1MA bagi meningkatkan keselesaan, kemudahan, dan keselamatan penduduk.
"Selain itu, inisiatif bersama Huawei Malaysia dan SCID dijangka akan memacu pertumbuhan pasaran, menggalakkan kemajuan teknologi dan menetapkan piawaian industri yang baharu,'' katanya.
Pengukuhan kerjasama antara PR1MA dan SCID adalah bertujuan untuk meneruskan usaha giat bersama gergasi industri global dalam penerapan teknologi pembinaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) khususnya bagi Bandar PR1MA yang baru dilancarkan bulan lalu.
Usaha sama ini juga akan meneroka kerjasama strategik di bawah program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selain penerapan teknologi mesra alam seperti sistem tenaga solar serta kenderaan elektrik
(EV) yang merangkumi trak pengurusan sisa, trak sanitasi, kenderaan perkhidmatan awam dan sebagainya di kediaman PR1MA seluruh negara.
Melalui inisiatif dengan Huawei Malaysia dan SCID, PR1MA berusaha untuk memperkenalkan lebih banyak inovasi dalam sektor perumahan yang akan membawa manfaat jangka panjang kepada penduduk dan pembeli rumah PR1MA.
Dengan memanfaatkan kepakaran global dan teknologi canggih dengan rakan strategik, PR1MA berhasrat untuk terus menjadi peneraju dalam menyediakan perumahan mampu milik yang berkualiti tinggi, mampan dan inovatif, sejajar dengan aspirasi KPKT.
Source: Bharian.com.my