News & Articles Permohonan pinjaman beli rumah semakin meningkat

Permohonan pinjaman beli rumah semakin meningkat


11 Jul 2024
Permohonan pinjaman beli rumah semakin meningkat
KUALA LUMPUR: MIDF Amanah Investment Bhd kekal positif terhadap sektor hartanah kerana data permohonan pinjaman yang lebih baik menunjukkan minat belian lebih kukuh.

MIDF Amanah dalam satu nota penyelidikan berkata permohonan pinjaman yang semakin meningkat seharusnya menyokong prospek pendapatan pemaju.

"Kami berpendapat minat belian lebih kukuh disokong oleh jumlah kediaman tidak terjual lebih rendah di Malaysia, prospek harga rumah stabil dan prospek ekonomi yang bertambah baik untuk Malaysia," katanya.

MIDF Amanah memilih Mah Sing Group sebagai pilihan utama untuk sektor itu, menetapkan saranan 'beli' terhadap saham pemaju hartanah dengan harga sasaran RM1.97 disebabkan pendedahannya yang tinggi kepada segmen kediaman mampu milik, disokong oleh permintaan pembelian kukuh.

Mah Sing terus mengembangkan simpanan tanahnya, dijangka akan mengekalkan pertumbuhan jualan dan pendapatan baharunya, selain itu usaha pemaju hartanah ke dalam pusat data akan memberikan pendapatan berulang dalam tempoh jangka panjang.

"Sementara itu, kami positif terhadap Matrix Concepts dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM2.05 disebabkan jualan berdaya tahan dari perbandaran Bandar Sri Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan yang disokong oleh permintaan untuk rumah bertanah mampu milik," katanya.

MIDF Amanah berkata, Matrix Concepts terus mengembangkan simpanan tanahnya di Labu yang akan merangsang pertumbuhan pendapatan melepasi jumlah dicatatkan pada tahun kewangan 2027 dan menawarkan hasil dividen menarik diunjurkan pada 5.7 peratus.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun kepada RM58.5 bilion pada Mei 2024 berikutan pertumbuhan naik 15 peratus tahun ke tahun pada April 2024 .

Pada asas bulanan, jumlah permohonan pinjaman pada Mei 2024 merekodkan pertumbuhan dua angka pada 10.5 peratus bulan ke bulan, meningkat ke paras tertinggi sejak April 2023.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunway to expand Sunway City Ipoh with RM4bil in investments

  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development