News & Articles PKNS akan bangunkan 7,500 kediaman di Cyberjaya

PKNS akan bangunkan 7,500 kediaman di Cyberjaya


16 Jul 2024
PKNS akan bangunkan 7,500 kediaman di Cyberjaya
CYBERJAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersedia untuk membangunkan projek kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3 bilion dalam tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang, melibatkan 7,500 unit pangsapuri mampu milik, teres dan bertingkat tinggi di Cyberjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mahmud Abbas berkata sebahagian daripada unit itu merupakan rumah mampu milik yang menyasarkan terutama pembeli generasi muda.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Aludra Residensi, iaitu projek ketiga PKNS di Cyberjaya di sini hari ini, beliau berkata PKNS komited untuk memastikan pembeli rumah generasi muda yang mempunyai tahap pendapatan tertentu berpeluang membeli rumah pertama serta menawarkan rumah mampu milik pada harga lebih rendah berbanding pesaingnya.

Aludra Residensi yang terdiri daripada 218 unit rumah bandar, dibangunkan di kawasan seluas 4.52 hektar dengan GDV RM125 juta.

Setiap unit dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi dengan keluasan antara 1,035 kaki persegi dan 1,055 kaki persegi, dengan harga bermula daripada RM555,000.

Mahmud berkata 60 peratus daripada unit kediaman berkenaan telah terjual.

"Melangkah ke hadapan, kami mempunyai beberapa projek sedang dalam perancangan, dan antara projek utama adalah projek Shah Alam Central," katanya sambil memaklumkan projek itu melibatkan pembinaan kawasan pusat perniagaan, yang dijangka dilancarkan September ini.

Simpanan tanah PKNS pada masa ini berjumlah 607 hektar.

Aludra Residensi menawarkan kemudahan komuniti berpagar dan berkawal, trek joging, taman permainan kanak-kanak dan kawasan rekreasi berlandskap selain rumah kelab persendirian yang eksklusif serta surau.

Keunikan projek ini terletak pada reka bentuknya serta pemilihan bahan yang menekankan ciri-ciri alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Selain itu, rumah kelab dan rumah pengawal dilengkapi dengan panel solar fotovoltan untuk menghasilkan elektrik rendah karbon.

Terletak di lokasi strategik, Aludra Residensi mudah diakses melalui dua lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

Selain itu, lokasi projek ini juga berhampiran dengan beberapa bandar utama antaranya Cyberjaya iaitu 4 kilometer (km), Putrajaya (12km), Kuala Lumpur (35km), Shah Alam (28km) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (26km).

Layari laman sesawang www.pkns.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek hartanah PKNS.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • UEM Sunrise calls for builders to be more innovative in addressing sustainable living

  • Kemampuan membeli rumah jadi persoalan generasi muda

  • 智能家居 如何改变生活方式?

  • Renting expected to gain popularity

  • Forest City kini diuruskan bahagian Malaysia Country Garden