News & Articles LBS lancar rumah berkembar dua tingkat Imperial Garden di Batu Pahat

LBS lancar rumah berkembar dua tingkat Imperial Garden di Batu Pahat


18 Jul 2024
LBS lancar rumah berkembar dua tingkat Imperial Garden di Batu Pahat
KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS), pemaju hartanah terkemuka mengumumkan pelancaran projek terbaharu, Imperial Garden yang terletak di tengah-tengah pusat Bandar Putera Indah, Batu Pahat.

Projek yang terdiri daripada enam fasa rumah berkembar dua tingkat ini akan dibina di atas tanah pegangan bebas seluas 37.11 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM237 juta.

Fasa pertama sebanyak 30 unit telahpun dilancarkan dan fasa kedua membabitkan 33 unit bakal dilancar bulan depan.

Dengan keluasan 1,829 kaki persegi, setiap unit dilengkapi dengan empat bilik tidur, tiga bilik mandi, ruang tamu yang luas serta dikelilingi oleh ruang hijau, taman dan kawasan komunal untuk keselesaan komuniti.

Ini menjadikan Imperial Garden sebuah rumah yang sesuai bagi keluarga kecil dan mereka yang baru membina keluarga, dengan harga bermula RM575,280.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San, berkata sebagai pemaju yang berpengalaman, syarikat amat memahami cabaran dan perjalanan proses pemilikan rumah, terutama kepada mereka yang bercita-cita untuk memiliki hartanah pegangan bebas.

"Imperial Garden juga sesuai sebagai portfolio pelaburan dan membantu memberi kemudahan kepada mereka yang bekerja di Singapura.

"Projek Imperial Garden juga tersenarai sebagai salah sebuah projek di bawah kempen terbaharu kami bersama Maybank yang dilancarkan baru-baru ini, iaitu 'Maybank-My Deco Financing' yang menawarkan pinjaman sehingga 120 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Hock San berkata, kempen ini membolehkan bakal pemilik rumah mempunyai fleksibiliti dalam menyediakan rumah mengikut keinginan mereka sambil meningkatkan nilai sewaan.

Selain memastikan penduduk mendapat akses mudah kepada kemudahan dan fasiliti, projek ini turut menawarkan pelbagai aktiviti luar yang sesuai dengan gaya hidup urban masa kini.

Lokasinya yang strategik memberikan kelainan dan menawarkan kehidupan yang tenang daripada kesibukan bandar.

Seperti semua projek LBS, Imperial Garden di Bandar Putera Indah mempunyai capaian yang baik kepada pelbagai kemudahan awam utama, seperti sekolah, klinik, balai polis dan pusat membeli-belah termasuk AEON Big Batu Pahat dan Batu Pahat Mall.

Selain itu, bakal pemilik rumah turut mempunyai akses langsung ke Lebuhraya Utara-Selatan, selain akses ke bandar-bandar utama.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • UEM Sunrise calls for builders to be more innovative in addressing sustainable living

  • Kemampuan membeli rumah jadi persoalan generasi muda

  • 智能家居 如何改变生活方式?

  • Renting expected to gain popularity

  • Forest City kini diuruskan bahagian Malaysia Country Garden