Hotel 1001 Nights di Genting Highlands akan dibuka suku keempat
PUCHONG: NCT Group of Companies (NCT Group) melancarkan Hotel 1001 Nights di Grand lon Majestic (GIM), Genting Highlands sebahagian daripada Koleksi Trademark terbaharu oleh Wyndham.
Dibina dengan kerjasama China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd (CSCEC), GIM mencerminkan kepakaran dan teknologi hijau yang canggih oleh syarikat pembinaan terbesar di dunia, sekali gus meningkatkan integriti struktur dan reka bentuk bangunan itu.
GIM dibangunkan dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM 1.6 bilion serta akan menampilkan ruang runcit yang berukuran seluas 178,000 kaki persegi dengan menawarkan pelbagai pengalaman membeli-belah dan tempat makan.
Hotel 1001 Nights akan menyumbang kepada peningkatan reputasi Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan yang popular apabila selesai dibina dan dijangka akan dibuka pada awal suku keempat ini.
Ia sejajar dengan matlamat pelancongan negara, terutamanya inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, yang bertujuan menarik 35.6 juta pelancong.
Pengasas dan Pengarah Urusan NCT Group, Datuk Seri Yap Ngan Choy, berkata pelancaran Hotel 1001 Nights di bawah Wyndham ini menandakan pencapaian tertinggi bagi NCT Group.
"Kami meningkatkan penanda aras dalam sektor hospitaliti mewah dan menjadikan Genting Highlands sebagai destinasi pilihan pelancong dan pengembara.
"Kemahiran pakar kami berjaya mengaspirasi dan mencipta seni bina yang melambangkan kecemerlangan serta menjadi komitmen untuk reputasi cemerlang bagi NCT Group dalam pembangunan hartanah," katanya semasa Majlis Pelancaran Hotel 1001 Nights di sini, hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden Kewangan Kumpulan NCT, Sae-Yap Atthakovit, berkata Hotel 1001 Nights direka khas untuk memenuhi keinginan pelancong yang mencari pengalaman unik untuk meningkatkan daya tarikan Genting Highlands serta menarik minat pelancong domestik dan asing.
"Tidak dapat dinafikan bahawa industri hospitaliti yang dinamik dan sentiasa berkembang dibentuk oleh pilihan pelanggan, di mana ramai yang kini mencari pengalaman unik dan kami percaya Hotel 1001 Nights pasti akan memenuhi jangkaan mereka.
"Walaupun era pasca pandemik meninggalkan kesan yang mendalam kepada industri hospitaliti di seluruh dunia, Malaysia menunjukkan ketahanan yang luar biasa dalam bergerak ke hadapan, di mana kita bukan sahaja pulih, tetapi sedang mengalami pertumbuhan yang lebih kukuh daripada sebelumnya," katanya.
EXCO Perpaduan, Pelancongan Dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man pula berkata, kerajaan negeri menggalakkan lebih ramai kemasukan pelancong antarabangsa dan akan mempergiat promosi serta program untuk menarik pengunjung ke negeri itu.
"Dengan wujudnya Hotel 1001 Nights, Genting Highlands akan menjadi salah satu daya tarikan untuk pengunjung di mana ia akan membantu usaha kerajaan mempergiatkan promosi serta program pelancongan," katanya.
Source: Bharian.com.my