Kempen 'Signature Series' Sunway catat tempahan RM1.1 bilion
KUALA LUMPUR: Sunway Property mengumumkan kejayaan kempen 'Signature Series' 2024 dengan merekodkan tempahan bernilai RM1.1 bilion membabitkan 14 projek hartanah di seluruh negara.
Ini menandakan pertumbuhan tahun ketiga berturut-turut, dengan pencapaian melepasi tempahan RM1 bilion pada 2023 dan RM800 juta pada 2022.
Bersempena dengan ulang tahun ke-50 Sunway Group, kempen ini menampilkan tawaran istimewa dan pelancaran dua 'Signature Homes' baharu di Klang Lembah dan Johor.
Sunway Velocity 3 di Lembah Klang menyaksikan 60 peratus unit terjual pada hujung minggu pembukaannya pada Mei, manakala Sunway Aviana di Johor mencapai pengambilan yang luar biasa 100 peratus dalam dua bulan pertama pelancarannya.
Berikutan kejayaan ini, Sunway Property akan melancarkan rumah tanah pegangan bebas pertamanya di Sunway City Iskandar Puteri tidak lama lagi.
Kempen ini juga menawarkan tawaran eksklusif 'Experience Sunway', merangkumi tempat makan, kesihatan dan kesejahteraan, hospitaliti, runcit, perjalanan dan keistimewaan lain di seluruh ekosistem Sunway.
Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Sunway Property, Gerard Yuen, berkata kejayaan itu dikaitkan dengan falsafah Sunway Design and Development Architecture (SDDA) dan syarikat menghargai sokongan padu berterusan daripada komuniti.
"Sebagai pemaju komuniti utama, kami berusaha untuk menyediakan lebih daripada sekadar rumah dan komited untuk mencipta nilai bagi komuniti Sunway melebihi pemilikan kosong.
"Setelah membeli rumah, pembeli rumah kami akan mendapat manfaat daripada program keahlian gaya hidup jualan Sunway iaitu Property+ di mana inisiatif ini adalah sebahagian daripada janji berterusan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Program Sunway Property+, yang disertai oleh pembeli rumah Sunway menawarkan tiga manfaat utama iaitu Care+, Rent+, dan Reward+.
Ketiga-tiga elemen ini menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan rumah, kelebihan sewaan, serta jemputan eksklusif dan diskaun.
Selaras dengan usaha meningkatkan penyelesaian gaya hidup selepas jualan, Sunway Property memperkenalkan perkhidmatan Care+ Handyman pada 14 Jun lalu bagi memperluaskan tawaran Care+.
Pada mulanya, ia tersedia untuk 3,093 unit kediaman di Lembah Klang seperti di Sunway South Quay dan Sunway Serene, namun ia akan segera diperluas ke lebih banyak unit dan kawasan seiring dengan pertumbuhan perkhidmatan terbabit.
Source: Bharian.com.my