News & Articles Titijaya, Maybank sedia pembiayaan unik kepada pembeli rumah

Titijaya, Maybank sedia pembiayaan unik kepada pembeli rumah


30 Jul 2024
Titijaya, Maybank sedia pembiayaan unik kepada pembeli rumah
KUALA LUMPUR: Titijaya Land Bhd (Titijaya) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Maybank bagi menawarkan Maybank MyDeco Financing, penyelesaian pembiayaan unik untuk pembeli rumah.

Dalam satu kenyataan, Titijaya berkata, di bawah skim itu, pembeli rumah boleh mendapatkan pembiayaan rumah sehingga 90 peratus daripada nilai hartanah, dengan tambahan 30 peratus pembiayaan (sehingga RM250,000) yang khusus diperuntukkan untuk reka bentuk dalaman.

"Pakej pemilikan rumah yang menyeluruh ini membolehkan pemilik rumah mempertingkatkan ruang kediaman mereka, menjadikan pengubahsuaian rumah impian mereka lebih mudah diakses dan berpatutan.

"Tempoh pembiayaan adalah sehingga 10 tahun atau sehingga umur 70 tahun, mana-mana yang lebih awal.

"Pembiayaan tersedia sebagai Pinjaman Konvensional atau Pembiayaan Islam untuk pelanggan Pembiayaan Rumah Maybank/Maybank Islamic yang sedia ada," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit, berkata kerjasama dengan Maybank menyediakan pemilik rumah Titijaya satu penyelesaian yang lancar untuk mempertingkatkan kediaman dan merealisasikan pengubahsuaian rumah impian mereka.

Selain MoU yang ditandatangani dengan Maybank, Titijaya juga mengumumkan pencapaian kadar tempahan sepenuhnya bagi projek kumpulan di Kuala Lumpur Sentral, Fasa 1 Riveria City.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM374 juta, Fasa 1 Riveria City, The Riv, adalah pembangunan menara setinggi 54 tingkat dengan 784 suite pejabat.

The Riv membentuk komponen penting dalam Riveria City, sebuah Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) yang dibangunkan secara bersama oleh Titijaya dan Prasarana Integrated Development Sdn Bhd.

Selain mencapai kadar pengambilan 100 peratus untuk The Riv, Titijaya juga mencapai satu pencapaian penting dengan penyiapan bangunan menara The Riv.

Titijaya juga telah menyiapkan jambatan penghubung yang menghubungkan Jalan Syed Putra dan Lebuhraya Persekutuan.

Projek infrastruktur itu adalah satu inisiatif Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) yang penting oleh Titijaya, yang memfokuskan kepada elemen sosial dengan meningkatkan peredaran lalu lintas dan aksesibiliti untuk komuniti tempatan.

Titijaya turut menganjurkan sesi pratonton The Ria, menara kedua yang akan membentuk Fasa 2 Riveria City.

The Ria adalah sebuah bangunan pangsapuri perkhidmatan setinggi 63 tingkat yang menampilkan unit berkeluasan antara 650 hingga 800 kaki persegi, dengan konfigurasi dua hingga tiga bilik tidur.

Projek terbabit terdiri daripada 752 unit dengan GDV sebanyak RM588 juta. Dengan harga bermula dari RM685,000, The Ria direka untuk menjadi pilihan menarik bagi pemilik rumah yang mencari ruang hidup yang moden dan direka dengan baik di lokasi utama.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunway to expand Sunway City Ipoh with RM4bil in investments

  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development