Sunway Ipoh Mall dijangka siap menjelang 2027
IPOH: Projek Sunway Ipoh Mall bakal disiapkan pada 2027, dan akan menjadi pusat beli-belah terbesar di Perak.
Dengan kos keseluruhan pembangunan berjumlah lebih daripada RM1 bilion, pusat beli-belah di Sunway City Ipoh itu akan melebihi satu juta kaki persegi kawasan sewaan bersih (NLA) yang meliputi empat tingkat peruncitan.
Pusat beli-belah itu juga akan mempunyai gelanggang luncur ais pertama di Perak, sebuah pusat pameran, pusat boling 36 lorong, pusat sukan pelbagai guna dan pawagam 10 dewan tayangan dengan kapasiti tempat duduk sebanyak lebih kurang 1,500.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, berkata Pelan Perak Sejahtera 2030 kerajaan negeri menggariskan agenda untuk memacu pembangunan ekonomi secara mampan, inklusif dan saksama di seluruh Perak.
"Sunway City Ipoh, merentasi 1,350 ekar adalah perbandaran bersepadu terbesar di Perak, kini bernilai RM2 bilion dengan nilai pembangunan kasar (GDV).
"Sebagai pemangkin pertumbuhan bagi Koridor Pembangunan Timur Ipoh, perbandaran itu akan menggalakkan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan dan potensi menjana kesan limpahan ekonomi yang ketara untuk Ipoh," katanya semasa Majlis Pecah Tanah Sunway Ipoh Mall, hari ini, di sini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan EXCO Pelancongan Perak, Loh Sze Yee.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Mall, HC Chan, berkata strategi kumpulan adalah untuk memberi tumpuan di Perak disebabkan perbandaran itu mempunyai potensi tinggi serta menjadi destinasi perhentian sekejap bagi pengembara di Lebuhraya Utara-Selatan di mana perhentian itu mampu mencecah empat juta orang pada musim puncak.
"Kami pastinya mengukuhkan kedudukan di wilayah utara dengan pembangunan Sunway Ipoh Mall dan ia adalah sebahagian daripada hala tuju strategik Sunway Mall untuk mengembangkan ruang runcit di luar Lembah Klang dengan memanfaatkan pasaran yang kurang mendapat liputan.
"Dengan penambahan pusat beli-belah ini, wilayah utara Sunway Mall akan membentuk 29 peratus daripada jumlah kawasan sewaan bersih kami, iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus di mana pusat beli-belah ini akan mempunyai 500 kedai dan peluang pekerjaan untuk lebih daripada 5,000 orang," katanya.
Berpegang teguh kepada landskap semula jadi Tambun, Sunway Ipoh Mall akan direka bentuk agar harmonis dengan pemandangan semula jadi bukit batu kapur.
Sunway Ipoh Mall juga akan dibina untuk mencapai pensijilan hijau, sejajar dengan komitmen Sunway dalam memastikan semua bangunan dan premis baharu mulai 2025 dan seterusnya mencapai matlamat kumpulan iaitu pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata beliau mengiktiraf kepentingan kerjasama awam-swasta ini,di mana sektor swasta memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan ekonomi dan sosial.
"Matlamat utama saya adalah untuk memartabatkan Ipoh sebagai metropolis antarabangsa dan mengembalikan kedudukan Perak sebagai salah satu negeri paling maju dari segi ekonomi di Malaysia.
"Kerajaan Perak berbangga memberi sokongan penuh terhadap projek transformatif ini yang akan mentakrifkan semula landskap di sini," katanya.
Source: Bharian.com.my