News & Articles Pastikan rumah PPR di Sabah tidak disalah guna - Hajiji

Pastikan rumah PPR di Sabah tidak disalah guna - Hajiji


6 Aug 2024
Pastikan rumah PPR di Sabah tidak disalah guna - Hajiji
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu telah diarah memantau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan masing-masing bagi memastikan ia tidak disalah guna oleh penerima.

Beliau berkata, ini kerana terdapat kes pemohon program itu yang berjaya telah menyewakan rumah yang diterima kepada orang lain bagi mengaut keuntungan segera.

"Tindakan itu seolah-olah mereka tidak memerlukan rumah terbabit sekali gus menafikan hak orang lain yang benar-benar memerlukan kemudahan tersebut. Justeru, saya mahu semua PBT memperhalusi setiap permohonan dan memantau dengan ketat pelaksanaan program PPR di kawasan mereka.

"Mengikut perjanjian, mereka yang mendapat rumah di bawah program PPR tidak dibenar untuk menyewakannya kepada orang lajn," katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja ke Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah di Wisma Innoprise, di sini, pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Hajiji berkata, kerajaan negeri memohon 5,000 unit rumah PPR bagi tahun depan serta telah bertemu dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan meminta agar ia dimasukkan dalam bajet kementerian itu pada 2025.

Beliau turut menggesa semua PBT agar mewujudkan lebih banyak program kesedaran kebersihan di kawasan masing-masing kerana ketiadaan atau kekurangan kefahaman mengenai perkara itu adalah antara punca masalah lambakan sampah masih berterusan.

Menyentuh mengenai isu setinggan, Hajiji berkata adalah penting bagi unit penguatkuasaan bertindak mencegah perkara itu di peringkat awal.

"Jika mereka nampak beberapa struktur binaan baharu didirikan di kawasan masing-masing, mereka perlu bertindak segera dan menghalangnya. Jangan biarkan ia berkembang menjadi penempatan setinggan yang akan menimbulkan lebih banyak masalah," katanya.

Terdapat sejumlah 281 penempatan setinggan dikesan di Sabah dengan daerah paling banyak tinggi ialah Kota Kinabalu diikuti Sandakan dan Tawau manakala Kota Belud, Tuaran serta Ranau adalah sifar setinggan.

Beliau turut mengarahkan para pegawai PBT untuk lebih proaktif serta sering melakukan pemeriksaan ke atas kemudahan awam seperti perparitan dan lampu jalan dalam usaha memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. - BERNAMA

Source: astroawani.com

Latest Posts
  • Sunway to expand Sunway City Ipoh with RM4bil in investments

  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development