News & Articles Kenting Development selesaikan projek pembangunan dengan GDV RM260 juta

Kenting Development selesaikan projek pembangunan dengan GDV RM260 juta


13 Aug 2024
Kenting Development selesaikan projek pembangunan dengan GDV RM260 juta
Dengkil: Pemaju hartanah kediaman, Kenting Development Sdn Bhd (KDSB) sudah menyempurnakan projek pembangunan membabitkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM260 juta, dalam tempoh sedekad lalu.

Ditubuhkan sejak 2014, KDSB yang menjadi ahli kumpulan kepada E&J Group of Companies terus komited berada dalam industri hartanah dan menawarkan rumah mampu milik, serta memenuhi permintaan pembeli rumah yang sentiasa berubah pada masa kini.

Pengarah KDSB, Ir Mervyn Ung berkata, kejayaan ini adalah penanda aras yang cukup positif sepanjang pembabitan KDSB dalam pembangunan hartanah 10 tahun lalu.

"Kejayaan bersepadu ini bukan sahaja mendorong KDSB untuk terus menjadi tumpuan dalam industri, malah mula dikenali sebagai pemain utama yang semakin agresif dalam pembangunan hartanah mampu milik, khususnya di Lembah Klang.

"Pastinya menerusi komitmen berterusan yang diberikan, jelas KDSB mampu memenuhi permintaan yang semakin tinggi. Ini dilihat menerusi kejayaan jualan melebihi 1,000 unit kediaman mampu milik sejak 2014.

"KDSB juga terus bersedia untuk mengorak langkah dan optimis menjadi salah satu pemaju hartanah yang disegani serta dihormati menerusi kejayaan kami," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, memasuki ulang tahun ke-10, KDSB akan terus kekal mencapai matlamat untuk memenuhi impian setiap individu memiliki kediaman sendiri yang sempurna pada harga mampu milik.

Beliau berkata, terbaru, KDSB akan melancarkan secara rasmi projek kondominium pertama di lokasi strategik iaitu Sungai Ramal Kajang, Selangor.

"Selepas 10 tahun, memfokus membangunkan kediaman mampu milik dengan pilihan berlaman seperti banglo, semi-D, teres satu tingkat dan dua tingkat, KDSB terus mengotakan janji dengan mempelbagaikan pilihan dalam kediaman mampu milik buat semua.

"Projek Kondominum Vista Bayu, Sg Ramal ini hartanah jenis bertingkat pertama KDSB dengan 187 unit di tanah rizab Melayu dengan status pegangan bebas.

"Projek ini jelas menjadi titik permulaan kepada lebih banyak projek bertingkat daripada KDSB seiring dengan pembangunan kediaman berlaman," katanya.

Source: hmetro.com.my

Latest Posts
  • Sunway to expand Sunway City Ipoh with RM4bil in investments

  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development