News & Articles Mah Sing buka galeri jualan M Azura di Setapak

Mah Sing buka galeri jualan M Azura di Setapak


15 Aug 2024
Mah Sing buka galeri jualan M Azura di Setapak
KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) melakar pencapaian tersendiri dalam strategi perniagaannya dengan pembukaan galeri jualan M Azura dalam tempoh lapan bulan selepas memperoleh tanah itu.

M Azura adalah projek keempat di Setapak, selepas Starparc Point, M Adora dan M Astra yang telah dijual sepenuhnya.

Terletak di kawasan utama seluas 1.62 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM508 juta, M Azura direka sebagai pembangunan kediaman mampu milik.

Projek itu akan menampilkan unit dua bilik tidur, tiga bilik tidur dan empat bilik tidur, dengan keluasan binaan antara 700 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi, dan harga bermula daripada RM378,930.

Pembukaan galeri jualan M Azura telah disempurnakan oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Voon Tin Yow.

"Kami teruja dengan pembukaan galeri jualan terbaru kami. M Azura menandakan pembangunan keempat kami di Setapak, lokasi yang terbukti sangat dicari.

"Ini adalah bukti permintaan pasaran yang kukuh yang kami alami, dengan semua projek kami sebelum ini, terutamanya M Adora dan M Astra, telah habis dijual sepenuhnya.

"Kesan limpahan permintaan ini telah memberi inspirasi kepada kami untuk meneruskan misi kami menyediakan rumah mampu milik, terutamanya untuk pembeli rumah pertama kali dan mereka yang ingin menaik taraf," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Hoy Kum berkata, apabila siap, M Azura akan mempunyai 1,140 unit dan setakat ini M Azura telah mendapat perhatian yang ketara, dengan lebih 4,000 pendaftaran dalam tempoh hanya lapan bulan sejak pemaju hartanah itu memperoleh tanah berkenaan.

Beliau berkata, sambutan yang menggalakkan itu telah mengukuhkan keyakinan pihaknya untuk memenuhi permintaan pasaran dengan pantas.

"Dengan itu, kami akan terus menyampaikan kualiti, perumahan mampu milik di lokasi utama, sejajar dengan tumpuan kumpulan kami untuk menangani keperluan pembeli rumah hari ini," katanya.

M Azura ialah projek mampu milik dengan pelbagai kemudahan yang memenuhi keperluan penduduk dari semua peringkat umur.

Terdapat lebih 40 kemudahan termasuk bilik permainan, gimnasium serba lengkap, gelanggang badminton, ruang sosial pelbagai guna, ruang kerja bersama, dek yoga dan banyak lagi.

Dari segi kebolehcapaian, M Azura mudah diakses melalui lebuh raya utama dan jalan utama.

Terletak dalam jarak lapan kilometer dari KLCC, projek itu mempunyai sambungan yang sangat baik melalui Jalan Genting Kelang (2.7 kilometer), Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) (4.6 kilometer), Lebuhraya Duke (DUKE) (4.6 kilometer) dan Jalan Tun Razak (lima kilometer).

Projek itu juga hanya 1.9 kilometer dari stesen LRT Sri Rampai dan 3.3 kilometer dari stesen LRT Wangsa Maju.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Malaysia’s first-ever auction carnival happening on Nov 21 in KL

  • Sunway to expand Sunway City Ipoh with RM4bil in investments

  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual