News & Articles MGB komited jayakan sasaran Selangor bina rumah mampu milik

MGB komited jayakan sasaran Selangor bina rumah mampu milik


29 Aug 2024
MGB komited jayakan sasaran Selangor bina rumah mampu milik
KUALA LANGAT: MGB Bhd, anak syarikat LBS Bina Group Bhd (LBS), komited untuk menjayakan Projek Rumah Idaman MBI, inisiatif kerajaan Selangor untuk membina sejumlah 30,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat negeri itu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San, berkata Rumah Idaman MBI adalah perkongsian pintar antara kerajaan Selangor dan pihak swasta dengan penyediaan kediaman mampu milik yang dilengkapi kemudahan asas selain turut dibina dengan menggunakan teknologi berinovasi tinggi dan juga kerjasama erat bersama institusi kewangan.

Katanya, jualan Rumah Idaman MBI ini amat memberangsangkan dan kekal sebagai segmen sasaran utama bagi MGB.

"Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan kerajaan Selangor yang sentiasa komited dalam menyediakan kemudahan terbaik, selesa serta berpatutan untuk rakyat Selangor di samping selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang merancang untuk membina lebih 200,000 unit rumah mampu milik pada 2028.

"Untuk makluman, unit-unit Rumah Idaman MBI ini dibina dengan menggunakan teknologi pratuang sistem binaan berindustri (IBS) milik MGB, di mana produk ini turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, apabila MGB terbabit dalam melaksanakan pembekalan dan pemasangan produk konkrit pratuang di Jeddah, Arab Saudi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman BSP di Bandar Saujana Putra, dekat sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Yang turut hadir, Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Terletak di Bandar Saujana Putra, Rumah Idaman BSP adalah di bawah inisiatif kerajaan Selangor untuk menawarkan kediaman mampu milik kepada semua rakyat yang berkelayakan dan menetap di Selangor.

Rumah Idaman BSP menampilkan 1,312 unit pangsapuri dua blok di atas tanah seluas 7.81 hektar, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM375 juta

Projek ini menawarkan pelbagai pilihan rumah mampu milik dengan reka bentuk pelan berbeza, bermula dengan harga RM250,000.

Kesemua unit dibina dengan teliti untuk memenuhi kehendak pemilik rumah moden, dan dilengkapi dengan perkakas penting termasuk penyaman udara, peti sejuk, almari, kabinet dapur televisyen, dan pemanas air.

Sementara itu Amirudin berkata, kerajaan negeri memberikan komitmen teguh dalam memastikan kesejahteraan rakyatnya untuk menyediakan perumahan berkualiti tinggi dan selesa yang dilengkapi dengan kemudahan penting.

"Saya yakin terhadap kejayaan Rumah Idaman BSP dan projek Rumah Idaman MBI yang lain, berikutan lokasi strategik dan harga yang mampu milik selain dilengkapi dengan perkakas asas, yang dapat meningkatkan kualiti hidup keseluruhan bagi penduduk Selangor," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Malaysia’s first-ever auction carnival happening on Nov 21 in KL

  • Sunway to expand Sunway City Ipoh with RM4bil in investments

  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual