Jaya Grocer penyewa utama Cove Centrum di Gamuda Cove
KUALA LANGAT: Gamuda Land, cabang hartanah Gamuda Bhd, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Trendcell Sdn Bhd untuk membuka Jaya Grocer di perbandaran Gamuda Cove.
Gedung itu akan menjadi penyewa utama Cove Centrum, komponen komersial perbandaran itu, dan menduduki ruang seluas 24,000 kaki persegi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, Gamuda Land turut mengalu-alukan 14 penyewa baharu ke sekitar pebandaran Gamuda Cove, seperti Urban Marketplace, 99 Speedmart, ZUS Coffee, Muiz Hot Chicken, Tiga Ikan, Gintell RestNGo, Sleepy Bear, dan VRide.
Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Wong Siew Lee, berkata bahawa kerjasama itu perlu untuk memenuhi kemajuan perbandaran: "Di Gamuda Cove, kami telah mula mengalu-alukan penduduk dengan penyerahan fasa kediaman pertama kami, Palma Sands, dan projek bertingkat tinggi pertama kami, Maya Bay Residences. Enso Woods, fasa kediaman bertanah kedua kami, mula menyerahkan kunci kepada pemilik rumah pada bulan Julai".
Menjelang tahun 2027 dan sebelum penyiapan Cove Centrum, beliau menambah bahawa Gamuda Cove dijangka menampilkan lebih daripada 3,800 rumah, dan menempatkan sekitar 15,000 orang penduduk.
Dilancarkan pada Julai tahun ini, Cove Centrum menampilkan 96 unit kedai runcit dua dan tiga tingkat, dan 40 peratus daripada unit telah diambil.
Menurut kenyataan sama, Cove Centrum telah direka bentuk sebagai zon pejalan kaki sepenuhnya, dengan yang menjadi pilihan tempat makan alfresco dan kedai runcit.
Akan terdapat e-tram yang akan merentasi Cove Centrum dan disambung ke komponen komersial lain di perbandaran itu seperti Townsquare, SplashMania Waterpark dan Discovery Park.
Source: Bharian.com.my