Kemampuan membeli rumah jadi persoalan generasi muda
KUALA LUMPUR: Aliran demografi dijangka membentuk permintaan hartanah di Malaysia dipengaruhi oleh perkembangan penduduk menua, migrasi bandar dan dinamik isi rumah, demikian menurut Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC).
Pengarah Eksekutifnya, Lee Heng Guie, berkata pemilikan rumah di Malaysia kini berada pada tahap 76.9 peratus iaitu satu jumlah yang agak tinggi.
Namun, katanya, kemampuan untuk membeli rumah masih menjadi persoalan terutamanya bagi generasi muda, mengenai sama ada mereka harus membeli atau menyewa berikutan harga hartanah yang semakin meningkat.
"Malaysia kini menumpukan kepada amalan memindahkan kembali operasi perniagaan dan penyumberan dari negara sekutu geopolitik disebabkan ketegangan geopolitik, dan akan ada permintaan untuk pelbagai jenis aset termasuk ruang komersial seperti runcit dan pergudangan.
"Kadar faedah yang stabil juga akan menjadi satu lagi faktor mempengaruhi permintaan hartanah. Kadar itu dijangka kekal sekurang-kurangnya sehingga tahun depan walaupun Amerika Syarikat (AS) dijangka menurunkan kadar faedah mereka," kata Heng Guie pada Forum Hartanah UEM Sunrise yang julung kali diadakan, di sini, hari ini.
Forum tersebut diadakan secara kerjasama dengan CLSA Malaysia, Khazanah Nasional Malaysia Bhd dan Advancing Malaysia.
Semasa perbincangan panel, Ketua Pegawai Pertumbuhan JLL Malaysia, Christophe Vicic, berkata Malaysia kini semakin mendapat perhatian dan menerima lonjakan pelaburan dari AS dan China, berikutan ketegangan geopolitik di Ukraine, Russia, dan Asia Barat serta peningkatan kos buruh di China.
Beliau berkata, Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang menarik berikutan penguasaan pelbagai bahasa oleh penduduknya, tenaga buruh berkemahiran, sumber tenaga dan kuasa yang terjamin serta pendedahan terhad negara kepada bencana alam.
"Namun, kita perlu memikirkan cara untuk meningkatkan dan mendapatkan lebih banyak pelaburan daripada negara pesaing.
"Masih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia dilihat sebagai pilihan utama apabila pelabur dalaman dan luaran mempertimbangkan peluang pelaburan mereka," kata Vicic.
Source: Bharian.com.my