News & Articles Transaksi hartanah separuh pertama 2024 melonjak kepada RM105.65 bilion

Transaksi hartanah separuh pertama 2024 melonjak kepada RM105.65 bilion


10 Sep 2024
Transaksi hartanah separuh pertama 2024 melonjak kepada RM105.65 bilion
KAJANG: Pasaran hartanah Malaysia mencatatkan prestasi kukuh pada separuh pertama 2024 dengan jumlah transaksi meningkat lapan peratus kepada 198,906 dan nilai transaksi meningkat 23.8 peratus kepada RM105.65 bilion, pertumbuhan tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata pengukuhan pasaran hartanah didorong oleh prestasi transaksi yang positif merentas semua subsektor, disokong oleh pelbagai inisiatif yang digariskan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2024.

Tambahan pula, katanya, beberapa usaha baharu dan projek pemangkin yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI secara serentak merangsang pembangunan pasaran hartanah.

Beliau menjelaskan, inisiatif itu termasuk penambahbaikan baru-baru ini kepada program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan penubuhan Zon Kewangan Khas di Forest City.

"Prestasi kediaman siap dibina tidak terjual turut memperlihatkan momentum yang lebih memberangsangkan.

"Unit siap dibina tidak terjual merekodkan penurunan sebanyak 12.3 peratus berjumlah 22,642 unit dan sebanyak 19.5 peratus dalam nilai berjumlah RM14.24 bilion, berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan merasmikan Jubli Perak Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) serta Simposium Penyelidikan Harta Tanah Antarabangsa (IRERS) 2024 di Institut Penilaian Negara (INSPEN), di sini, hari ini.

Hui Ying berkata, prestasi aktiviti pasaran mengikut subsektor menunjukkan peningkatan dengan mencatat pertumbuhan yang kukuh tahun ke tahun iaitu subsektor kediaman (6.1 peratus), komersial (22.4 peratus), industri (2.3 peratus), pertanian (6.5 peratus) dan tanah pembangunan (12.1 peratus).

Beliau berkata, data awalan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pada separuh pertama 2024 berada pada paras 218.7 mata, memperlihatkan harga purata RM471,918 seunit dengan pertumbuhan tahunan pada kadar 0.9 peratus.

Katanya, semua negeri menyaksikan pertumbuhan positif yang sederhana kecuali Kuala Lumpur, yang mencatat penguncupan 0.8 peratus.

Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan

prestasi penghunian kompleks perniagaan merekodkan peningkatan marginal.

Kadar penghunian kompleks perniagaan merekodkan 78.1 peratus berbanding 76.6 peratus pada tempoh sebelumnya, manakala kadar penghunian pejabat binaan khas milik persendirian mencatat 71.6 peratus berbanding 72.4 peratus yang direkodkan pada tempoh sebelumnya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Malaysia’s first-ever auction carnival happening on Nov 21 in KL

  • Sunway to expand Sunway City Ipoh with RM4bil in investments

  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual