News & Articles Radium Arena tawar rumah harga berpatutan di pusat bandar KL

Radium Arena tawar rumah harga berpatutan di pusat bandar KL


12 Sep 2024
Radium Arena tawar rumah harga berpatutan di pusat bandar KL
KUALA LUMPUR: Radium Development Bhd (Radium) melancarkan galeri jualan Radium Arena serta memperkenalkan pembangunan itu sebagai projek terbaharu pemaju hartanah berkenaan.

Terletak secara strategik di Jalan Klang Lama, pembangunan pada harga berpatutan itu menandakan pencapaian penting dalam portfolio syarikat, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM550 juta.

Radium Arena menawarkan gabungan unik keselesaan bandar, kemudahan dan kehidupan mampan.

Projek ini memperoleh Sijil Provisional GreenRE (Emas) kerana reka bentuk mampan dan ciri hijau yang inovatif dan dijangka siap pada suku keempat 2028.

Dibina di atas tanah pegangan bebas seluas 3.03 ekar, Radium Arena menampilkan dua blok setinggi 40 tingkat dengan 988 unit kediaman yang direka dengan baik.

Pengarah Urusan Kumpulan Radium, Datuk Gary Gan Kah Siong, berkata pilihan unit merangkumi unit dua bilik tidur, dua bilik air seluas 658 kaki persegi dan unit kunci dua dengan tiga bilik tidur, dua bilik air yang berukuran 920 kaki persegi, disertakan dengan satu atau dua tempat letak kereta bagi memenuhi pelbagai gaya hidup pelanggan.

"Keselamatan menjadi tumpuan utama, dengan sistem tiga lapisan 24 jam yang komprehensif memastikan ketenangan penduduk serta untuk meningkatkan pengalaman hidup di mana kemudahan di aras lapan mempunyai kolam renang infiniti, gim akuatik, pavilion taman, kawasan BBQ, laluan berjoging, simulator golf, studio yoga, serta ruang mesyuarat.

"Manakala, kemudahan di bumbung pada aras 40 termasuk kawasan pertanian bandar, dek yoga dan kawasan ruang santai peribadi dengan pemandangan bandar yang menakjubkan," katanya semasa Majlis Pelancaran Radium Arena, di sini, hari ini.

Kah Siong berkata, lokasi utama Radium Arena menawarkan akses terus ke Jalan Klang Lama dan lebuh raya utama, memastikan sambungan yang lancar ke kawasan seperti Jalan Gasing, PJ State, Petaling Jaya, Sunway City, Subang, Puchong, Taman OUG, Bukit Jalil, Sri Petaling, Bangsar, dan Brickfields.

Katanya, kemudahan kesihatan dan tempat rekreasi berhampiran termasuk Hospital Assunta, Pusat Perubatan KMI Taman Desa, Hospital Beacon, Mid Valley Megamall, Pearl Point Shopping Gallery, Pavilion Bukit Jalil, Bloomsvale Shopping Gallery serta Sports Arena Sentosa.

"Misi Radium yang lebih besar adalah untuk membina lebih daripada sekadar struktur di mana kami membina komuniti.

"Pembangunan ini memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk rumah pada harga berpatutan di sekitar pusat bandar dan selaras dengan misi kami untuk menyediakan rumah berkualiti yang memenuhi aspirasi rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat." katanya.

Beliau berkata, Radium Arena dijangka menarik minat pembeli rumah kali pertama, golongan profesional muda, mereka yang ingin meningkatkan taraf hidup dan pelabur hartanah yang mencari tempat perlindungan moden di kejiranan Kuala Lumpur.

Pembangunan ini juga mempunyai sambungan yang baik kepada sistem pengangkutan awam seperti KTM Petaling dan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya KL-Seremban dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Radium dijangka melancarkan Radium Arena menjelang akhir bulan depan.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • 2025 Budget will bring positive market developments: Hailey

  • Public Bank pelawa kerjasama pembangunan lestari dengan pemaju

  • Sunway to buy Taman Taynton land for RM320m for mixed development

  • AmBank Lulus Pembiayaan RM193 Juta Untuk Projek Penambakan Tanah Di Senibong Cove

  • Industrial sector to maintain solid showing