News & Articles Perumahan mikro: Tukar kompleks komersial terbiar jadi kediaman orang muda

Perumahan mikro: Tukar kompleks komersial terbiar jadi kediaman orang muda


20 Sep 2024
Perumahan mikro: Tukar kompleks komersial terbiar jadi kediaman orang muda
KUALA LUMPUR: Bangunan komersial terbiar dan kosong dalam ibu kota akan ditransformasikan sebagai perumahan mikro bagi menampung keperluan warga kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, berkata kaedah itu boleh membantu anak muda yang berhijrah ke ibu kota dalam aspek kediaman untuk memulakan kehidupan.

"Sudah dua minggu ini, saya berjalan di Kuala Lumpur, saya dapati ada bangunan lama yang kosong, kenapa tidak kita tukar kepada perumahan di dalam bandar?

"Mereka yang baharu habis pengajian dan keluar dari universiti, belum berkahwin, tidak perlu rumah yang besar untuk memulakan kehidupan di sini," katanya dalam program 'Podcast BH, 'Borak Harini: Kuala Lumpur di Tangan Maimunah' yang disiarkan di saluran YouTube dan media sosial BH.

Pada masa sama sama, Maimunah berkata, pihaknya mahu Kuala Lumpur pada mata penduduk, dianggap sebagai tempat bukan sahaja untuk bekerja, tetapi juga sebagai rumah yang didiami dan berekreasi.

Kerja dan tinggal di KL, kurangkan kesesakan trafik keluar masuk

Atas dasar itu beliau mahu mereka yang bekerja di ibu kota supaya menetap di sini kerana dengan cara itu ia boleh mengurangkan trafik dari luar, sekali gus memberi kesan kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon.

139 lokasi program 'pemuliharaan semula bandar'

Dalam perkembangan sama, Maimunah berkata, dalam meningkatkan aspek kediaman di ibu kota, pihaknya mengenal pasti 139 lokasi akan dimasukkan dalam program 'pemuliharaan semula bandar'.

Beliau berkata, melalui program itu, kediaman yang usang akan dibaiki atau dibina semula, selain konsep komuniti serta kejiranan diperkasakan.

"Saya melihat ada lagi keperluan untuk (pembangunan) perumahan kalau kita lihat dari segi penduduknya kini mencecah lapan juta namun perlu melihat kepada rekaan perancangannya.

"Walaupun rumah berkonsep unit bertingkat (high rise), tetapi masih ada ruang untuk berekreasi, berjalan dan paling penting kehijauan itu masih ada, ...ini penting sebagai mengisi 'roh' warga kota," katanya.

Selepas tragedi lubang jerlus, Maimunah tegaskan KL selamat

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan susulan tragedi lubang jerlus di Jalan Masjid India, Maimunah sekali lagi menegaskan bahawa Kuala Lumpur selamat untuk diduduki dan dikunjungi oleh pelancong luar.

Beliau berkata, melalui kajian pasukan petugas yang dibentuk termasuk membabitkan pakar geologi di kawasan tanah jerlus, belum adanya penemuan batu kapur di kedalaman 45 meter bawah tanah.

Namun katanya, susulan insiden tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India, 23 Ogos lalu, pemantauan secara berkala akan dilaksanakan di tempat awam.

Harapan, legasi Maimunah untuk KL sebagai wanita pertama jadi Datuk Bandar

Sementara itu mengulas mengenai harapannya terhadap Kuala Lumpur, Maimunah berkata, besar harapannya untuk memastikan penduduk yang menetap di ibu kota merasai kesejahteraan di sini sepanjang ia ditadbir beliau.

Katanya, itu adalah legasi yang mahu ditinggalkannya, selain menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang cemerlang, berdaya huni dan dicintai.

"Saya mahu apabila mereka jumpa saya, mereka sangat gembira duduk di Kuala Lumpur kerana kesejahteraannya, ...bantu dan sokonglah saya dalam menjalankan peranan sebagai Datuk Bandar.

"Pembabitan orang ramai, pelabur, institusi pengajian, wanita dan golongan muda amat penting untuk sama-sama menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar global di rantau ASEAN," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Malaysia’s first-ever auction carnival happening on Nov 21 in KL

  • Sunway to expand Sunway City Ipoh with RM4bil in investments

  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual