Sime Darby Property siapkan fasa struktur penting Serasi Residences
KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd menyempurnakan fasa struktur pembangunan penting 'topping-out' bagi projek Serasi Residences, sebuah pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Putra Heights Sentral.
Serasi Residences dengan tiga blok pembangunan yang dijangka siap pada Februari 2027, menawarkan 1,428 unit pangsapuri servis pegangan bebas.
Ia turut dilengkapi dengan 10 lot runcit strata yang semuanya telah habis dijual.
Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM455.88 juta, Serasi Residences menawarkan pelbagai jenis unit kediaman, bermula apartmen 1+1 bilik tidur hingga unit tiga bilik tidur, sesuai untuk pelbagai demografi dari pembeli rumah pertama hingga keluarga kecil dan golongan profesional muda.
Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Bersepadu Sime Darby Property, Datuk Ir Mohd Idris Abdullah, berkata majlis 'topping out' Serasi Residences menandakan detik penting dalam komitmennya untuk menyediakan ruang kediaman mampu milik berkualiti tinggi.
"Tumpuan kami adalah untuk mencipta ruang yang menawarkan kemudahan dan gaya hidup lestari, yang menjadi sebahagian daripada pengalaman pembangunan ini.
"Terletak berhampiran dengan pelbagai kemudahan rekreasi, termasuk taman linear dengan laluan berjalan di sepanjang Bukit Cermin dan Taman Komuniti Putra Heights yang baharu seluas 2.83 hektar," katanya.
Serasi Residences menyediakan lebih daripada 30 kemudahan gaya hidup yang tersedia di Podium Kemudahan seluas 0.8 hektar termasuk kolam renang sepanjang 50 meter bertaraf Olimpik, dewan serba guna dan kedai runcit bagi meningkatkan kemudahan serta kualiti hidup penduduknya.
Terletak hanya 400 meter dari Stesen LRT Putra Heights dan berhampiran lebuh raya utama, Serasi Residences menawarkan aksesibiliti yang tiada tandingan.
Dilancarkan secara berperingkat bermula Februari 2023, permintaan Serasi Residences yang kukuh mencerminkan minat pasaran yang mendalam terhadap perumahan mampu milik.
Fasa pertama sebanyak 507 unit di Blok 1 terjual sepenuhnya dalam masa hanya satu jam, menekankan nilai yang menarik yang ditawarkan projek berkenaan.
Fasa seterusnya terus mencerminkan kejayaan dengan hampir 300 unit di Blok 2 ditempah dalam satu hari, mewakili 98 peratus jualan bagi unit tidak terhad di Blok 2.
Walaupun projek ini telah diterima baik, Serasi Residences terus menawarkan peluang pemilikan menerusi unit Apartmen Servis Mampu Milik (SAMM), yang menjadi sebahagian daripada skim perumahan mampu milik yang diuruskan bersama dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Sehingga 18 Ogos 2024, kadar tempahan keseluruhan untuk Serasi Residences adalah 72 peratus dengan unit SAMM 1+1 bilik tidur yang menawarkan rekaan bentuk moden, luas dan fleksibel ditawarkan hanya RM250,000.
Permohonan unit terbabit terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan individu sehingga RM15,000 atau pendapatan isi rumah sehingga RM20,000.
Pembelian itu tidak terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja, ia terbuka kepada mana-mana pembeli yang layak yang belum pernah membeli unit SAMM sebelum ini.
Source: Bharian.com.my