LBS, RHB tawar pembiayaan hijau untuk SkyRia@D'Island Residence Puchong
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, LBS Bina Group Bhd (LBS), menjalinkan kerjasama strategik bersama RHB dengan menawarkan skim pembiayaan hijau untuk SkyRia @ D'Island Residence Puchong (SkyRia).
Menurut pemaju itu dalam kenyataan hari ini, inisiatif itu menunjukkan komitmen bersama dalam memudahkan pembelian rumah yang mesra alam serta menawarkan kehidupan yang lestari di Malaysia.
Katanya, kerjasama itu bermula susulan daripada penganugerahan Sijil Provisional Silver GreenRE kepada Skyria, yang adalah sebahagian daripada komitmen LBS untuk membina masa depan yang lebih hijau.
"Pensijilan GreenRE adalah pengiktirafan berwibawa yang diberikan kepada bangunan atau projek pembinaan yang memenuhi kriteria kelestarian tertentu.
"Skim Pembiayaan Hijau RHB menawarkan beberapa kelebihan, antaranya margin pinjaman sehingga 95 peratus, dengan tambahan lima peratus untuk perlindungan Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurang (MRTA) atau Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurang (MRTT).
"Pakej eksklusif ini direka khusus untuk menjadikan kehidupan lestari lebih mudah dicapai dan mampu milik bagi rakyat Malaysia," katanya.
Terletak di D'Island Puchong, sebuah perbandaran utama dan salah satu pembangunan ikonik LBS Bina Group, Skyria adalah sebahagian daripada komuniti ini.
Dengan pemandangan yang indah serta landskap yang berunsurkan hijau dan mesra alam sekitar, D' Island menawarkan kehidupan di tepi tasik yang tenang dan damai.
SkyRia, yang terdiri daripada dua blok kediaman dengan 999 unit rumah, dijangka menghasilkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM457 juta.
Dengan harga seunit bermula dari RM250,000 sehingga RM507,000, Skyria menawarkan 29 fasiliti yang bertujuan meningkatkan gaya hidup sambil mengurangkan kesan alam sekitar, menjadikannya pilihan ideal bagi pembeli yang peka terhadap alam sekitar.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San, berkata kerjasama dengan RHB menjadi penanda aras yang signifikan dalam misi mereka untuk membina kediaman yang mampu milik dan lestari.
Katanya, dengan tawaran skim pembiayaan hijau itu, pihaknya memudahkan pemilik rumah untuk memiliki kediaman mesra alam di samping memperkasakan komitmen kumpulan terhadap kelestarian alam sekitar.
"SkyRia @ D'Island adalah bukti kepada visi kami untuk menyediakan perumahan berkualiti tinggi dan lestari kepada pembeli. Sejak pelancaran, projek ini mendapat permintaan yang tinggi, sekali gus mengukuhkan lagi daya tarikan tawaran perumahan yang berpandukan kelestarian oleh LBS.
"Kelestarian menjadi teras utama dalam strategi pembangunan LBS. Kumpulan turut menggariskan komitmen untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050, satu matlamat yang menjadi panduan bagi semua projek kumpulan, termasuk SkyRia D'Island.
"Pendekatan kami termasuk penggunaan teknologi hijau terkini, mengoptimumkan kecekapan tenaga, serta mempromosikan amalan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam setiap projek kami," katanya.
Source: Bharian.com.my