News & Articles Tiga projek baharu UEM Sunrise di Iskandar Puteri dapat sambutan hebat

Tiga projek baharu UEM Sunrise di Iskandar Puteri dapat sambutan hebat


27 Sep 2024
Tiga projek baharu UEM Sunrise di Iskandar Puteri dapat sambutan hebat
KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd mencapai kadar pengambilan 100 peratus yang mengagumkan semasa previu tiga projek terbaharunya di Iskandar Puteri iaitu Aspira Hills (Fasa 1), DiReka Square dan Aspira LakeHomes (Fasa 4, 5 dan 6), dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) secara kolektif sebanyak RM499 juta.

Previu khas Aspira Hills 1 yang sangat berjaya pada 21 September lalu menjadi saksi pembeli rumah bersemangat beratur semalaman untuk mendapatkan unit ditawarkan.

Kelebihannya dari segi ketersambungan luar biasa menarik minat yang tinggi, menyebabkan kesemua 272 unit ditempah sepenuhnya dalam sehari, mencapai GDV sebanyak RM198 juta.

Pembangunan kediaman mesra keluarga ini mempunyai empat bilik tidur yang luas dan tiga bilik mandi, dilengkapi dengan Central Park enam ekar di tengah-tengah pembangunan, memupuk semangat kemasyarakatan, menjadikannya pilihan yang ideal untuk keluarga moden.

Pada 22 September lalu, previu DiReka Square, yang terdiri daripada kedai pejabat dua dan tiga tingkat di Puteri Harbour mengukuhkan lagi kedudukan UEM Sunrise dalam pasaran, dengan semua 67 unit tersedia ditempah, menyumbang kepada jumlah GDV sebanyak RM158 juta.

Terletak di kawasan Puteri Harbour yang meriah, DiReka Square berdiri sebagai hab komersial utama dalam perbandaran dinamik baharu DiReka, menawarkan gabungan pelbagai projek runcit dan komersial.

Ia mempunyai sambungan lancar ke mercu tanda utama seperti Kota Iskandar, Kompleks Mahkamah Johor Bahru yang akan datang dan Raffles American School.

Pencapaian ini menyusuli previu Aspira LakeHomes 4 dan 6 yang diadakan pada 20 Julai, dan seterusnya Fasa 5 pada 11 September, di mana kesemua 147 unit yang ditawarkan untuk dijual telah ditempah sepenuhnya, menjana GDV sebanyak RM143 juta.

Membina kejayaan fasa terdahulu, Aspira LakeHomes telah menjadi pembangunan perbandaran yang dicari-cari di Johor, menawarkan pembangunan gaya hidup yang seimbang dengan kemudahan moden dan kehidupan berinspirasikan alam semula jadi.

Terletak di tengah-tengah Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, rumah 'superlink' yang direka dengan teliti daripada 2,072 hingga 2,821 kaki persegi, menampilkan susun atur yang luas, ruang hijau yang subur dan pemandangan tepi tasik yang indah.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah melahirkan rasa terima kasihnya, dengan berkata: "Kami amat berbangga dengan maklum balas yang menggalakkan terhadap previu terkini Aspira dan DiReka.

"Permintaan yang kukuh ini menyerlahkan prospek positif Iskandar Puteri, terutamanya dengan kemajuan JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura) yang kukuh dan kedudukan strategiknya antara Johor dan Singapura.

"Pembangunan kami terletak berdekatan dengan Persimpangan Gerbang Nusajaya, meningkatkan dengan ketara ketersambungan di kawasan tersebut dan mengurangkan masa perjalanan ke Pusat Pemeriksaan Tuas kepada hanya 15 minit."

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Pasaran tak seimbang

  • Selangor Dredging aims to attract a new demographic of homebuyers

  • Streetscapes: The pulse of Petaling Jaya’s SS3

  • Tiga projek baharu UEM Sunrise di Iskandar Puteri dapat sambutan hebat

  • Farlim to rake in RM10.74 mil gain from Perak land sale