News & Articles Karnival UDA 2024 tingkat pemilikan rumah

Karnival UDA 2024 tingkat pemilikan rumah


1 Oct 2024
Karnival UDA 2024 tingkat pemilikan rumah
UDA Holdings Berhad (UDA) komited mengangkat peranannya dalam meningkatkan pemilikan hartanah khususnya di kawasan bandar menerusi penganjuran Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang di Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn dengan sasaran jualan sebanyak RM112.5 juta.

Sasaran itu merangkumi jualan hartanah bernilai RM110 juta serta nilai jualan usahawan berjumlah RM2.5 juta, yang mana UDA mengetengahkan 16 produk hartanah selain membantu 170 usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi karnival yang berlangsung pada 27 hingga 29 September.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, sebanyak 16 produk hartanah dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Sarawak ditawarkan kepada pengunjung, tidak kira generasi dan latar belakang.

Menurutnya, Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang juga mengangkat aspirasi UDA iaitu memperkasa usahawan PMKS selain membantu komuniti setempat mendapatkan produk hartanah UDA yang bersesuaian.

“UDA selaku salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menganjurkan Karnival UDA 2024 bagi mendukung perkembangan usahawan PMKS melalui Program Insentif U­sahawan UDA (PIUU) yang berupa insentif sewaan gerai jualan.

“Selain itu, UDA turut ­menyokong usahawan menerusi Program Pemerkasaan Usahawan merangkumi bantuan pemerkasaan penjenamaan produk atau perkhidmatan dan insentif pengiklanan digital melalui green screen,” katanya.

Perasmian Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang di Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta diha­diri oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Mohd. Salem berkata, UDA akan terus melancarkan beberapa projek terbaharu pada suku kedua tahun ini bagi menggalakkan lagi usaha pemilikan hartanah.

“Antara produk hartanah yang diketengahkan di karnival ini adalah Taman Kuala Terengganu Golf Resort (Fasa 6 Pakej 1) di Kuala Terengganu dan Pelindung Heights (Fasa 1B Pakej 4) di Kuantan.

“UDA turut mengetengahkan Areca Terrace (Fasa 4B) dan UDA Heights (Fasa 1C) di Bandar UDA Utama, Johor Bahru serta Sedili Residensi di Kota Tinggi.

“Di sebelah utara pula, UDA memperkenalkan Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Alor Setar, Crescent Dew Commercial di Kepala Batas, Wakaf Seetee Aisah 2 (Kedai Pejabat) di Seberang Jaya dan Taman Sena Permai di Kangar,” katanya.

Ujarnya, bagi kawasan pembangunan baharu seperti Sarawak, UDA membawakan projek Neu Pendington (Fasa 1A dan Fasa 1B) di Kuching, manakala di Lembah Klang dengan tiga projek kediaman baharu iaitu Dedaun Residensi di Cheras, Residensi 38 Bangsar di Bangsar dan Residensi Akasia Raya di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha tersebut selari dengan penjenamaan UDA iaitu LIFE yang membawa maksud Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa) dalam menyumbang ke arah kelestarian dan meneruskan legasi UDA, seterusnya memperkasa ekonomi Madani.

Tambah Mohd. Salem, selain mengetengahkan produk berkualiti dan bernilai tinggi, sasaran jualan produk hartanah akan digiatkan melalui kempen jualan hartanah baharu ‘Jimat Super Deals’.

“Kempen yang dikhususkan kepada pembeli produk hartanah UDA untuk memudahkan pemilikan hartanah dan merangkumi promosi serta tawaran istimewa seperti insentif pelan pemilikan yang mudah, yuran guaman percuma untuk surat cara perjanjian jual beli dan bayaran pendahuluan rendah.

“Malah, Karnival UDA 2024 turut menjadi platform menyalurkan maklumat produk hartanah UDA selain menyediakan nasihat dan bimbingan kepada pelanggan untuk mendapatkan insentif, bantuan kewangan serta menyesuaikan dengan produk hartanah idaman, tertakluk terma dan syarat ditetapkan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Source: kosmos.com.my

Latest Posts
  • Karnival UDA 2024 tingkat pemilikan rumah

  • KPKT: 69 pct of 500,000 affordable homes targeted under 12MP completed

  • Pasaran tak seimbang

  • Selangor Dredging aims to attract a new demographic of homebuyers

  • Streetscapes: The pulse of Petaling Jaya’s SS3