News & Articles Public Bank pelawa kerjasama pembangunan lestari dengan pemaju

Public Bank pelawa kerjasama pembangunan lestari dengan pemaju


4 Oct 2024
Public Bank pelawa kerjasama pembangunan lestari dengan pemaju
KUALA LUMPUR: Public Bank mengalu-alukan kerjasama rapat dengan pemaju hartanah di seluruh negara, bagi memacu peralihan mereka ke arah ekonomi rendah karbon.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata bank itu bertindak proaktif dalam matlamatnya untuk membantu sektor hartanah mesra alam sekitar.

Katanya, ini termasuk memeterai Memorandum Persefahaman dengan beberapa pemaju yang disenaraikan dalam bursa saham Malaysia pada tahun 2022 untuk menyediakan pakej pembiayaan khas bagi membiayai pembangunan hijau mereka.

"Pendekatan holistik bank terhadap pembangunan lestari turut merangkumi penawaran dan permintaan bagi memenuhi keperluan pemaju hartanah dan pembeli hartanah hijau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ah Lek berkata, Public Bank memperuntukkan sebanyak RM100 bilion bagi pembiayaan lestari menjelang 2030 sebagai sebahagian komitmennya dalam menggalakkan pemaju hartanah beralih ke arah pembangunan mampan.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih daripada RM53 bilion diperuntukkan untuk pembiayaan lestari sejak tahun 2020.

"Pemaju hartanah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh memanfaatkan pembiayaan lestari Public Bank melalui kemudahan seperti Kemudahan Pembiayaan Hijau Public Bank dan Kemudahan Peralihan Karbon Rendah Bank Negara Malaysia yang meliputi satu senarai panjang penyelesaian pembiayaan hijau yang layak, termasuk pelaksanaan tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian cekap tenaga, serta pembelian bahan pembinaan mampan oleh kontraktor dan pemaju.

"Pada masa sama, pembeli hartanah hijau boleh menikmati penentuan harga keutamaan Public Bank dan manfaat tambahan lain untuk pembiayaan akhir bagi kediaman, bangunan komersial dan premis industri yang diiktiraf hijau," katanya.

Public Bank baru-baru ini menganjurkan seminar hartanah hijau yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai topik kelestarian dalam kalangan pemaju hartanah di Wilayah Selatan dalam kategori PKS.

Seminar sehari yang diadakan di Johor Bahru itu adalah yang ketiga dianjurkan dan diadakan sebagai sebahagian daripada siri 'Embracing Sustainable Development: The Way Forward for SME Developers'.

Seminar terbaharu di Johor itu menyaksikan penyertaan lebih daripada 200 orang wakil PKS dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan, serta wakil daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Sementara itu, Pengerusi REHDA Johor, Tan Lindy menyokong sentimen Ah Lek mengenai peranan penting yang boleh dimainkan oleh pemaju PKS dalam memacu agenda kelestarian negara.

"Ketika Malaysia meneruskan peralihannya ke arah ekonomi sifar bersih, kami memuji usaha Public Bank yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan seminar ini lebih awal.

"Topik mengenai pembangunan lestari akan memanfaatkan industri ini secara meluas, khususnya di negeri Johor yang memperlihatkan trend ke atas dalam minat dan permintaan hartanah," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing launches its M Aspira Sales Gallery in Taman Desa

  • Matrix Concepts sedia khidmat concierge canggih di Levia Residence

  • MGB delivers robust Q3 net profit growth

  • IOI Properties, Maybank tawar pembiayaan khas rumah mesra alam

  • Malaysia’s first-ever auction carnival happening on Nov 21 in KL