News & Articles Skyworld, PR1MA bekerjasama bina rumah mampu milik di Brickfields

Skyworld, PR1MA bekerjasama bina rumah mampu milik di Brickfields


10 Oct 2024
Skyworld, PR1MA bekerjasama bina rumah mampu milik di Brickfields
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Skyworld Development Bhd, Aspirasi Cekap Sdn Bhd (ACSB) memeterai perjanjian pembangunan bersama dengan PR1MA Corporation Malaysia untuk membina rumah mampu milik.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya projek di Brickfields di ibu negara yang dikenali sebagai SkyAwani Prima, melibatkan pembinaan 491 unit pangsapuri, dengan keluasan binaan bagi setiap unit adalah 900 kaki persegi.

SkyAwani Prima terletak di atas tanah pegangan pajakan berkeluasan kira-kira 0.80 hektar, berharga RM390,000 bagi setiap unit.

"Kerjasama antara SkyWorld Development Group dan PR1MA untuk membina rumah mampu milik di Brickfields menangani permintaan yang semakin meningkat bagi kediaman mampu milik di samping menggalakkan pembangunan komuniti," kata Skyworld.

Berikutan lokasi projek yang strategik dan harga mampu milik, ia adalah pilihan berdaya maju untuk isi rumah berpendapatan sederhana dan pembeli rumah kali pertama yang berhasrat mendapatkan rumah mampu milik, katanya.


Menerusi terma perjanjian itu, ACSB akan bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pembinaan projek, dengan nilai pembangunan kasar RM191.49 juta.


Sehubungan itu, PR1MA berhak menerima RM32.17 juta sebagai kos tanah.

Tanpa mengambil kira perkara luar jangka, tempoh pembangunan projek dijangka siap dalam tempoh 48 bulan daripada tarikh pembinaan bermula.

Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development, Lee Chee Seng, dalam satu kenyataan berkata, berikutan lokasi yang strategik di Brickfields, syarikat optimis terhadap potensi permintaan yang kukuh dan komited untuk memberi manfaat dalam sektor perumahan mampu milik.

"Bersama-sama PR1MA, kami berhasrat mewujudkan ruang kediaman yang bukan sahaja menyediakan tempat perlindungan, malah memupuk semangat kemasyarakatan dan meningkatkan kualiti hidup keseluruhan penduduk," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing launches its M Aspira Sales Gallery in Taman Desa

  • Matrix Concepts sedia khidmat concierge canggih di Levia Residence

  • MGB delivers robust Q3 net profit growth

  • IOI Properties, Maybank tawar pembiayaan khas rumah mesra alam

  • Malaysia’s first-ever auction carnival happening on Nov 21 in KL