News & Articles MGB bangun dua projek bernilai RM861 juta di Taman Bukit Serdang

MGB bangun dua projek bernilai RM861 juta di Taman Bukit Serdang


14 Oct 2024
MGB bangun dua projek bernilai RM861 juta di Taman Bukit Serdang
KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat tidak langsung kumpulan, Prisma Kasturi Sdn Bhd memeterai dua perjanjian kerjasama dengan Talam Transform Bhd dan Kandis Permai Sdn Bhd untuk membangunkan tanah masing-masing seluas 16.5 ekar dan 9.5 ekar di Taman Bukit Serdang, Selangor.

Penyedia penyelesaian pembinaan dan pembangunan hartanah terkemuka yang juga anak syarikat LBS Bina Group Bhd itu berkata, plot pertama seluas 16.5 ekar untuk projek pembangunan bercampur, merangkumi lot kedai komersial serta rumah mampu milik di bawah skim Rumah Selangorku.

Ia berkata, plot kedua seluas 9.5 ekar, merupakan Tanah Rizab Melayu dan akan dibangunkan sebagai kawasan kediaman untuk pemilik rumah Bumiputera.

"Gabungan keluasan kedua-dua plot tanah berkenaan adalah 26 ekar, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM861.35 juta," katanya.

Tanah ini terletak di lokasi yang strategik, dengan akses kepada pelbagai kemudahan dan fasiliti, seperti sekolah dan universiti, pusat membeli-belah, kompleks sukan, hospital serta pengangkutan awam melalui stesen KTM Komuter Serdang dan MRT Serdang Raya Utara.

Selain itu, kawasan ini juga dihubungkan dengan beberapa lebuhraya utama seperti Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya KESAS, Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Sungai Besi, serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

Kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan bandar-bandar utama seperti Putrajaya, Cyberjaya dan Pusat Bandar Kuala Lumpur menjadikannya lokasi yang ideal untuk pemilik rumah.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Dr Lim Hock San, berkata: "Kami teruja mendapat peluang untuk menyumbang dalam usaha memenuhi permintaan perumahan mampu milik yang semakin meningkat di kawasan Lembah Klang, sementara mengembangkan portfolio kami dalam sektor hartanah kediaman dan komersial.

"Dalam semua pembangunan di MGB, kami mengintegrasikan teknologi konkrit pratuang (IBS) yang cekap dan kos efektif, sekali gus dapat membina rumah yang berkualiti tinggi dan selesa. Hasil daripada setiap pembangunan yang berjaya dilaksanakan, MGB semakin menghampiri hasrat untuk membina 10,000 unit Rumah Selangorku di Negeri Selangor."

Beliau berkata, dengan jumlah pesanan pembinaan yang kukuh bernilai RM1.19 bilion, jualan pembangunan hartanah yang belum dibil berjumlah RM693 juta daripada projek yang masih dalam pembinaan (setakat 30 September 2024) serta penyerahan pemilikan rumah bagi Projek Idaman BSP yang baru sahaja dilaksanakan, kumpulan menjangkakan kejayaan yang konsisten pada separuh kedua tahun ini.

"Dengan jumlah 19 projek yang masih dalam pembinaan, kami menjangkakan hasil pendapatan sebanyak RM4.02 bilion pada tahun-tahun akan datang."

"Selain itu, kami telah memperoleh tanah seluas 32 ekar di Puchong bagi menambah simpanan tanah sedia ada untuk projek-projek pembangunan yang akan datang. MGB akan tetap komited untuk mengukuhkan reputasi kami dalam pembangunan dan pembinaan perumahan mampu milik untuk rakyat," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • BRDB buys Selangor Properties’ prime Jalan Semantan land

  • Anthea kediaman mewah tawar seni bina luar biasa

  • BCB acquires 54.7-acre Kluang land for RM31m

  • Eupe tumpu perumahan mampu milik penuhi keperluan pembeli

  • S P SETIA SHIFTS FOCUS TO GREEN INDUSTRIAL ESTATE, STRENGTHENS SUSTAINABILITY FRAMEWORK