Eupe tumpu perumahan mampu milik penuhi keperluan pembeli
KUALA LUMPUR: Eupe Corporation Bhd mengukuhkan dedikasi terhadap perumahan mampu milik dengan menyempurnakan 'topping out' projek terbaharunya, Helix2 @ PJ South.
Helix2 adalah pembangunan bertingkat tinggi Eupe yang keempat di Kuala Lumpur, menyasarkan segmen perumahan mampu milik di ibu negara.
Sepanjang hampir 40 tahun operasi, Eupe telah membina lebih daripada 25,000 rumah di utara Malaysia, yang kebanyakannya adalah rumah mampu milik.
Majlis 'topping out' Helix2 dihadiri oleh pengurusan utama dari Eupe dan TCS Construction Sdn Bhd, kontraktor utama bagi pembinaan perumahan mampu milik itu.
Pengarah Urusan Kumpulan Eupe, Datuk Beh Huck Lee, berkata walaupun ekonomi dan taraf hidup Malaysia terus berkembang pesat, perumahan mampu milik akan kekal menjadi kepentingan jangka panjang yang signifikan.
"Apabila harga perumahan semakin meningkat, kami sedar bahawa orang ramai mempunyai sumber yang terhad untuk terus melabur dalam hartanah.
"Oleh itu, pemaju perlu mempertimbangkan reka bentuk perumahan mampu milik dengan pendekatan yang berbeza yang dapat menambah nilai aset dan gaya hidup yang berkekalan, dan tidak bergantung kepada kaedah pembinaan serta reka bentuk yang telah digunakan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pendekatan Eupe yang didorong oleh falsafah 'Nilai Bersama', membabitkan reka bentuk perumahan mampu milik untuk memenuhi keperluan semasa dan menjangkakan keperluan akan datang, menawarkan 'rumah seumur hidup'.
"Dengan cara ini, kami mencipta nilai gaya hidup dan aset jangka panjang untuk pembeli melalui setiap peringkat kehidupan," katanya.
Huck Lee berkata, tumpuan syarikat kepada penciptaan 'rumah seumur hidup' mencerminkan perubahan yang penting dalam pembangunan perumahan mampu milik dan jelas terlihat dalam strategi yang berwawasan sepanjang reka bentuk Helix2.
Beliau berkata, pendekatan reka bentuk yang menyeluruh ini telah memainkan peranan penting dalam prestasi jualan yang kukuh bagi projek tersebut dengan kadar pengambilan sebanyak 95 peratus setakat ini.
"Penerimaan cepat pembangunan ini di pasaran menekankan daya tarikan tawaran Eupe yang menyediakan banyak ciri inovatif yang biasanya tidak terdapat pada tahap harga ini," katanya.
Helix2 menawarkan pelbagai kemudahan bergaya premium, lif dan lampu cekap tenaga, infrastruktur pencegahan virus dan ruang modular untuk perhimpunan kecil dan besar.
Menurut Huck Lee, kejayaan Helix2 menunjukkan bahawa terdapat permintaan yang kukuh untuk rumah mampu milik yang direka dengan kesesuaian masa depan dalam fikiran.
"Dengan menjangka keperluan pemilik rumah mungkin berkembang dari masa ke masa, kami dapat menyediakan hartanah yang menawarkan nilai dan kepuasan yang berkekalan."
"Memandangkan perumahan mampu milik terus memainkan peranan penting dalam pasaran hartanah Malaysia, Eupe kekal komited sepenuhnya untuk melangkaui batasan reka bentuk dan fungsi dalam segmen ini," katanya.
Source: Bharian.com.my